MAHU tidak mahu, kemungkinan besar kita bakal menyaksikan sekurang-kurangnya persaingan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November nanti antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).
Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018, buat kali pertama BN tumbang di Melaka kepada PH dengan majoriti tipis dua kerusi (PH 15, BN 13) dan Adly Zahari dilantik sebagai Ketua Menteri.
Berikutan Langkah Sheraton pada Februari 2020, selain kerajaan pusat, kerajaan Melaka di bawah PH berusia 22 bulan turut tumbang apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengisytiharkan keluar daripada PH.
Ekoran daripada itu, kerajaan baharu Melaka terbentuk pada Mac 2020 dan Datuk Seri Sulaiman Md Ali dilantik sebagai Ketua Menteri. Disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.
Kerajaan Melaka yang baru berusia 19 bulan akhirnya tumbang pada awal Oktober lalu apabila empat Ahli Dewan Undangan Melaka (ADUN) menarik sokongan mereka terhadap Ketua Menteri.
Empat ADUN tersebut ialah bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu), Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dan Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor).
Situasi kali ini amat menarik kerana pertama kali dua gabungan BN dan PN yang bersama membentuk kerajaan di peringkat pusat, namun mereka berseteru pula di peringkat negeri dalam pilihan raya.
Boleh jadi ini memberi signal bahawa mereka juga bakal bersaing dalam PRU15 yang akan datang. Adakah persaingan ini memberi harapan yang cerah kepada PH untuk menang di PRN Melaka? Ia hanya telahan dan tidak sebegitu mudah akan terjadi.
Oleh kerana ketiga-tiga gabungan ini sedang dan pernah menjadi kerajaan, beberapa faktor penting mungkin bakal mempengaruhi pilihan rakyat Melaka.
1. Prestasi kerajaan negeri: Rakyat Melaka sudah pasti mengetahui prestasi mana-mana kerajaan negeri yang mentadbir urus hal ehwal mereka dengan lebih baik dari segi kebajikan dan kemudahan yang disediakan untuk membela nasib mereka.
2. Kesihatan: Boleh jadi sesetengah rakyat tidak berpuas hati dengan kerajaan sedia ada kerana PRN diadakan dalam situasi negara baru hendak pulih daripada wabak Covid-19. Dengan adanya PRN, ia dibimbangi boleh meningkatkan kes positif Covid-19 semasa tempoh kempen dan pengundian berlangsung.
3. Pergolakan politik: Sesetengah rakyat juga mungkin sudah muak dengan permainan politik yang tidak berkesudahan hingga PRN terpaksa diadakan. Barangkali individu atau pihak yang mencetuskan pergolakan demi pergolakan ini bakal ditolak rakyat dalam PRN.
Berdasarkan keputusan PRU 14 di DUN Melaka, persaingan sengit dijangka antara PH (13 kerusi) dan BN (13 kerusi), namun PN yang mempunyai dua kerusi perlu bekerja lebih keras untuk memenangi hati rakyat dalam PRN kali ini.
Berbeza dengan PRN Sabah, ini adalah kali pertama PN bertanding bersendirian tanpa BN.
Mampukah PN memenangi PRN Melaka tanpa BN? Dengan bantuan PAS, Gerakan dan tanpa pengaruh PH, adakah dua kerusi yang pernah dimenangi PPBM mampu dipertahankan?
Mampukah BN memenangi PRN Melaka tanpa PN? Mampukah PH memenangi semula PRN Melaka sebagaimana PRU14 yang lalu? Yang mana satu idaman kalbu? Semuanya terletak di tangan rakyat Melaka pada 20 November ini.
Mohammad Hafizuddin Abdul Mukti