Sunday, September 29, 2024
Home Belanjawan 2022 RM2.5 bilion tumpu projek luar bandar

RM2.5 bilion tumpu projek luar bandar

Penduduk, Ana Lalat, 46 membasuh pingan mangkuk di luar rumahnya dengan menggunakan air dari perigi yang diambil setiap hari di Kampung Orang Asli Air Kuning, Bukit Bandaraya, Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 17 JUN 2021.
KUALA LUMPUR – Kerajaan terus komited memberi tumpuan kepada aspek kesejahteraan luar bandar pada tahun hadapan, kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Menurutnya beliau, lebih RM2.5 bilion disediakan bagi melaksanakan pelbagai program termasuk dana hampir RM1.5 bilion untuk projek jalan luar bandar dan jalan perhubungan desa sepanjang 519 kilometer.
“Keempat, RM107 juta bagi memasang 7,000 unit Lampu Jalan Kampung, menyelenggara lebih 500,000 unit Lampu Jalan Kampung dan menaik taraf 20 buah jambatan uzur serta kerja-kerja awalan bagi 30 buah jambatan baharu.
“Daripada keseluruhan peruntukan ini, sebahagian besar iaitu RM1.5 bilion disediakan untuk pembangunan infrastruktur luar bandar Sabah dan Sarawak,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Tengku Zafrul menambah, Bajet 2022 turut menyediakan peruntukan kepada Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) masing-masing sebanyak RM16 bilion dan RM17 bilion.
“Antaranya sejumlah RM1.6 bilion diperuntukkan untuk mempertingkatkan kesiagaan aset-aset utama Angkatan Tentera Malaysia. Peruntukan ini turut melibatkan RM14 juta bagi mengganti peralatan utama PASKAL dan PASKAU seperti payung terjun, alat selam litar tertutup dan bot.
“Kebajikan anggota-anggota polis dan tentera kita juga tetap menjadi keutamaan. Bagi tahun hadapan, RM230 juta disediakan untuk kerja-kerja menyelenggara sekolah dalam kem tentera, fasiliti ketenteraan dan Rumah Keluarga Angkatan Tentera.
“Peruntukan ini turut melibatkan penggantian dan pembaikan lif serta kuarters PDRM,” katanya.
Selain itu, tambah beliau, kerajaan akan menambah lapan pos kawalan Pasukan Gerakan Am antaranya di Pagalungan di Sabah dan Temong Mura di Sarawak bagi meningkatkan kawalan keselamatan sempadan yang berterusan.
“Kerajaan juga akan menambah empat pintu masuk imigresen baharu antaranya di Telok Melano dan Baleh, Sarawak.
“Ia bagi memenuhi keperluan peningkatan pergerakan melalui imigresen susulan perubahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan dan pembukaan Lebuh Raya Pan Borneo jajaran Telok Melano,” katanya. – MalaysiaGazette