KUALA LUMPUR – Menteri terlibat dengan pendedahan Laporan Audit Negara (LKAN) 2020 berkenaan isu pembayaran tidak teratur sehingga melibatkan pembaziran RM620 juta perlu disiasat.
Timbalan Ketua Amanah Nasional, Faiz Fadzil berkata, selain menteri, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga perlu disiasat.
“Pendedahan LKAN 2020 adalah membimbangkan kerana ia menunjukkan kerajaan tidak serius dalam mematuhi pengurusan kewangan yang baik. Misalnya, duti Kastam telah terkurang pungut sebanyak RM5.92 juta dan Jabatan Imigresen rugi RM81.69 juta akibat tidak mengenakan penalti.
“Sepatutnya, menteri-menteri yang berkenaan perlu tampil ke hadapan dan bertanggungjawab atas isu-isu yang dibangkitkan oleh LKAN 2020.
“Sebagai captain of the ship, para menteri (termasuk Perdana Menteri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin) harus disiasat atas kepincangan pengurusan kewangan yang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Faiz, ia akan menjadi amaran kepada menteri-menteri semasa dan akan datang serta semua penjawat awam supaya sentiasa mematuhi ‘standard’ pengurusan kerajaan.
Menurutnya, tadbir urus baik (good governance) harus diberikan perhatian serius supaya ekonomi negara dapat dipulihkan demi kemakmuran hidup rakyat.
Pada masa yang sama, katanya Ketua Audit Negara telah menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan kerajaan membayar hutang matang dengan RM98 bilion hutang baharu dan bukannya menggunakan lebihan hasil yang ada.
“Apa yang menyedihkan adalah jika sumber kewangan telah diuruskan dengan baik, kerajaan UMNO-Bersatu-Pas sepatutnya telah dapat memberikan bantuan yang lebih banyak kepada rakyat.
“Daripada RM530 bilion nilai pakej rangsangan ekonomi yang telah diumumkan, hanya RM83 bilion datang daripada kerajaan. Sebaliknya, sekurang-kurangnya RM300 bilion disumbangkan oleh rakyat sendiri dalam bentuk pengeluaran simpanan KWSP dan moratorium pinjaman yang tidak dikecualikan faedah,” ujarnya.
Menurut Faiz, pendedahan LKAN 2020 adalah membimbangkan kerana ia menunjukkan kerajaan tidak serius dalam mematuhi pengurusan kewangan yang baik merujuk kepada duti Kastam telah terkurang pungut sebanyak RM5.92 juta dan Jabatan Imigresen rugi RM81.69 juta akibat tidak mengenakan penalti.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Laporan Audit: Tidak patuh pengurusan kewangan, negara rugi lebih RM620 juta