BARANGKALI pemimpin negara ini masih belum insaf dengan tragedi yang terjadi selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun lalu.
Menurut kajian yang dibuat oleh kumpulan yang kebanyakan anggotanya di Saw Swee Hock School of Public Health, Universiti Kebangsaan Singapura mengesahkan bahawa PRN Sabah mencetuskan gelombang ketiga penularan Covid-19 yang menjadikan kes sebanyak 4,720 di seluruh negara dan mencatatkan angka tertinggi pada waktu itu.
Ia bertujuan menjadikan PRN Sabah sebagai kajian kes bagi menaksir bagaimana perhimpunan ramai boleh menyebabkan penularan Covid-19.
Dalam pada itu, majoriti kes dilaporkan di kawasan bandar di Semenanjung Malaysia seperti daerah Petaling, Kuala Lumpur dan Johor, tetapi kesemua 114 daerah di luar Sabah yang ada kes Covid-19 ketika itu mengalami kesan limpahan yang drastik.
Kajian itu berdasarkan pemodelan komputer trend Covid-19 di Malaysia dari 22 Mac hingga 12 Oktober, iaitu ketika sehari sebelum bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan bersyarat (PKPB) di Sabah dan beberapa negeri lain seperti Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.
Kajian yang diterbitkan di jurnal PLOS Computational Biology menyatakan, sejak 10 Jun hingga hari mengundi pada 26 September 2020, terdapat hanya sekitar 16 kes baru sehari di Malaysia.
Malangnya, selepas 17 hari PRN berlangsung hingga penguatkuasaan PKPB, ia mendadak naik kepada 190 kes sehari dengan kira-kira 154 kes dilaporkan hanya di negeri Sabah.
PRN Sabah diadakan selepas bekas ketua menterinya Musa Aman cuba menjatuhkan kerajaan negeri menerusi peralihan sokongan Adun pada 29 Julai tahun lalu.
Kes yang dijangkiti dan kematian pun terus meningkat. Rakyatlah yang terhimpit dan tersepit dengan SOP yang berpanjang itu. Bagaimana pula mereka yang di atas?
Kerana karenah mereka, rakyat yang menanggungnya
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 20 November ini sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Hari penamaan calon pula pada 8 November dan tarikh mengundi awal pada 16 November.
"Tempoh berkempen pula adalah 12 hari bermula selepas pengisytiharan calon sehingga jam 11.59 malam pada 19 November," kata Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh.
Mendengar perkhabaran itu, tentunya kita sebagai rakyat menjadi gusar dan tidak selesa.
Apakah ‘pengalaman’ lampau yang telah jelas itu tidak menjadi pengajaran kepada pihak terbabit?
Jika ia berulang kembali, adakah kita semua akan kembali ‘terkurung’ di rumah sendiri waktu itu?
Pastinya kita tidak ingin sekali ‘tragedi’ seperti yang telah dilalui sebelum ini berulang lagi.
Apa yang pasti, kita semua perlu memainkan peranan agar terhindar dan dijauhkan daripada wabak yang belum hilang sepenuhnya ini.
Jika berlaku lagi, para petugas kesihatan tentunya akan terus terbeban dengan kemasukan bertubi-tubi ribuan pesakit Covid-19 ke hospital dan pusat kuarantin di seluruh negara, sebagaimana situasi yang terjadi tahun lalu itu.
Selagi ia belum berlangsung, ada baiknya, pihak yang terbabit memikirkan semula agar ‘tragedi hitam’ seperti tahun lalu itu tidak berlaku lagi.
Kasihani dan prihatinlah kepada rakyat khususnya yang baharu saja untuk bangkit kembali setelah kebenaran rentas negeri dibenarkan, serta industri dan sektor dapat dijalankan seperti biasa.
Dengan adanya PRN Melaka, mungkin ia bakal melonjakkan semula kes-kes Covid-19.
Tiada siapa yang mahu mengulangi sejarah lonjakan seperti itu lagi di Melaka.
Tidak cukupkah PRN Sabah menjadi pengajaran dan iktibar besar buat negara ini?
Atriza Umar
Pegawai Jabatan Penyiaran dan Komunikasi
Pertubuhan IKRAM Malaysia