
KUALA LUMPUR – Kerajaan menyediakan RM25 juta kepada Yayasan Keluarga Malaysia bagi memimpin usaha melindungi kebajikan, pendidikan dan masa depan kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa akibat pandemik Covid-19.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan juga menyeru semua pihak khususnya sektor korporat untuk sama-sama menyumbang kepada golongan anak-anak itu.
“Perdana Menteri telah berkesempatan melawat anak-anak yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 pada 16 Oktober lalu. Seluruh negara turut melahirkan simpati kepada nasib anak-anak ini.
“Kepada Muhammad Hadhrami Husna Humaira, Muhammad Harraz, Muhammad Hawwas dan Hannan Humaira serta anak-anak yatim lain, kami semua sentiasa ada untuk menjaga kamu semua,” katanya ketika membentangkan Bajet 2020 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Tengku Zafrul menambah, kerajaan turut menggesa badan-badan bukan kerajaan (NGO), komuniti setempat, malah korporat untuk memainkan peranan bersama.
“Ia bagi memastikan kebajikan dan masa depan anak-anak ini terus terpelihara,” ujar beliau. – MalaysiaGazette