Saturday, November 16, 2024
Home Dunia Dadah: Shah Rukh Khan menangis anak dibebaskan

Dadah: Shah Rukh Khan menangis anak dibebaskan

Shah Rukh Khan dan anaknya, Aryan Khan (kanan). Foto The Indian Express.
KUALA LUMPUR – Aktor Bollywood terkenal, Shah Rukh Khan menitiskan air mata sebaik sahaja Mahkamah Tinggi Bombay membenarkan permohonan ikat jamin ke atas anaknya, Aryan Khan, lapor Indian Express.
Dia yang bakal berusia 52 tahun bulan depan tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya selepas anak sulungnya ditahan agensi narkotik India selama 25 hari selepas didakwa terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Aryan Khan, 23, ditahan dalam keadaan penuh kontroversi bersama beberapa lagi orang oleh Biro Kawalan Narkotik (NCB) di Mumbai pada awal bulan ini.
Penangkapan Aryan Khan mendapat liputan meluas media tempatan dan antarabangsa berikutan tercetus dakwaan manipulasi saksi, bukti palsu serta tuduhan cubaan rasuah  daripada bintang Bollywood itu.
Bahkan, seorang menteri kerajaan Maharashtra, Nawab Malik menuduh agensi dadah yang dikawal kerajaan Persekutuan tidak mempunyai kes kukuh ke atas anak lelaki pelakon itu.
Media pula melaporkan, tiada sebarang bukti dadah ditemukan pada Aryan.
Sementara  itu, Pendakwa Raya Anil Singh pula yang berhujah selama hampir sejam di mahkamah membantah permohonan ikat jamin dengan mendakwa Aryan Khan merupakan pengguna tegar dadah. – MalaysiaGazette