KUALA LUMPUR – Insentif khas alat bantuan mengajar secara sekali bayar sebanyak RM100 kepada lebih 400,000 guru sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi Bajet 2022 dianggap tidak cukup berbanding pengorbanan seorang guru selama ini.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, hampir dua tahun guru mengajar dari rumah dengan keperluan gajet disediakan sendiri oleh mereka.
“Mereka guna duit sendiri, internet dan elektriknya ditanggung sendiri. RM100 tak cukup nak hargai guru. Kena ada pelan jangka panjang untuk pembelajaran digital, bukan gula-gula RM100 saja,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Beliau berkata, sewajarnya para guru diberikan insentif sekali bayar sebagai menghargai guru.
“Tapi perlu sesuailah jumlahnya. RM100 ini nak beli alat tulis pun tak berapa cukup. Banyak cikgu kongsi, mereka beli laptop dan tablet baru untuk ajar anak murid, ada baru pasang internet di rumah,” katanya.
Jelasnya lagi, KPM seharusnya merancang untuk mendigitalkan pendidikan dengan sokongan kukuh, bukan berharap pada guru untuk menyediakan internet sendiri.
Semalam, menerusi pembentangan Bajet 2020, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, pemberian RM100 itu merupakan pertama kali diberikan sebagai menghargai jasa guru yang menyediakan bahan mengajar tambahan kepada murid-murid semasa tempoh pandemik Covid-19.
Tidak hanya itu, kerajaan turut bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi terpilih dan bakal melaksanakan inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia bagi membekalkan sebuah tablet kepada setiap pelajar B40 di institusi pengajian tinggi. -MalaysiaGazette