Home Sukan Mansor sumbang lampu limpah untuk akademi bola

Mansor sumbang lampu limpah untuk akademi bola

Lampu limpah dipasang pusat Latihan Akademi Wira Muda di Mara Excenllent Centre (MEC) di Jawi, Nibong Tebal, Pulau Pinang.

KUALA LUMPUR – Bagi memberi nafas baharu kepada sukan bola sepak, Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman memberi sumbangan  kepada sebuah akademi sukan bagi meneruskan kelangsungan operasi selepas peralihan fasa Program Pemulihan Negara (PPN).

Beliau yang juga Timbalan Menteri Alam Sekitar Dan Air berkata, bantuan itu untuk menaik taraf Akademi Wira Muda (AWM) menerusi pemasangan lampu limpah bagi sesi latihan pada waktu malam.

Jelas beliau, ia juga bertujuan melahirkan lebih ramai pemain muda bola sepak profesional daripada akademi itu yang memerlukan latihan intensif yang lebih efisien dan mantap.

“Dengan adanya latihan tambahan pada waktu malam, saya berharap akademi ini akan dapat memantapkan pasukan dan pemain akan lebih cepat dapat menimba ilmu dengan jurulatih ketika latihan tambahan diadakan.

“Apa yang penting, pengurusan akademi perlu memastikan operasi prosedur standard (SOP) dipatuhi dalam usaha mencegah Covid-19 selepas dibenarkan beroperasi bagi merancakkan semula sukan bola sepak tanah air,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mansor Othman merasmikan kabin Akademi Bola Sepak Wira Muda di Mara Excenllent Centre (MEC) di Jawi, Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Mansor telah menyampaikan sumbangan sebanyak RM12,500 bagi kerja-kerja pemasangan lampu limpah itu.

Sebelum ini, beliau turut menyampaikan sumbangan wang RM10,370 dan kabin sumbangan untuk kegunaan pejabat dan surau kepada AWM yang memiliki pusat Latihan di Mara Excenllent Centre (MEC) di Jawi, Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Mansor menambah, sejarah penubuhan akademi itu sejak tiga tahun lalu mempunyai nilai sentimental kerana pihaknya turut membantu membekalkan barangan dan peralatan latihan seperti bola dan tiang gol sebelum ini.

“Sejak 2018, saya mengikuti perkembangan akademi bola sepak ini sehinggalah baru-baru ini terdapat seorang wakil AWM terpilih ke Akademi Mokhtar Dahari dan 23 pemain mewakili Akademi Tunas dan saya sangat berbangga dengan pencapaian pelatih di akademi ini

“Akademi ini juga sangat dekat di hati saya kerana pelbagai sumbangan telah disalurkan seperti peralatan latihan, tiang gol, kabin untuk kegunaan pejabat dan surau demi pembangunan selain membantu dalam penganjuran beberapa kejohanan liga bola sepak bawah 10 tahun, 12 tahun dan 15 tahun.

“Saya yakin pembangunan sukan bola sepak khususnya di daerah Nibong Tebal amat berpotensi menghasilkan pemain pelapis yang berkualiti untuk dibawa ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

AWM yang diterajui Shaik Awish Alkirani Shaik Haronarashib sebagai pengerusi kini memiliki 130 pelatih daripada pelbagai kategori umur dan menjalani latihan setiap Sabtu serta Ahad. – MalaysiaGazette