Home Nasional Fenomena air pasang besar landa empat negeri 4 November ini

Fenomena air pasang besar landa empat negeri 4 November ini

Penduduk kampung meredah air berikutan fenomena air laut pasang besar yang mencecah paras 5.6 meter dan diramal berlaku pada 8 Oktober hingga 9 Oktober 2021 di pesisir pantai Negeri Selangor sekitar jam 6.30 pagi hingga 7.40 pagi ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Bagan Hailam, Pelabuhan Klang. Foto MOHD ADZLAN, 09 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Fenomena air pasang besar dijangka melanda Kedah, Perak, Selangor dan Johor selama empat hari mulai 4 November ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Datuk Ir Nor Hisham Mohd Ghazali berkata, fenomena tersebut akan menjadi lebih buruk jika disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat secara serentak.

Katanya, ia berisiko mengakibatkan banjir kilat, limpahan air laut dan banjir pantai.

Menurut Nor Hisham kawasan terbabit di Kedah adalah Kuala Muda; Perak (Bagan Datuk); Selangor (Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor) serta Johor (Batu Pahat dan Pontian).

“Orang ramai terutama penduduk di pesisir pantai dinasihatkan supaya berwaspada berdepan dengan fenomena air pasang ini selain memantau keadaan cuaca,” katanya dalam kenyataan di sini.

Selain itu, pengunjung pantai dinasihatkan lebih berhati-hati dengan tidak menjalankan sebarang aktiviti air, riadah dan rekreasi pada tarikh tersebut. – MalaysiaGazette