KUWAIT CITY – Selepas Arab Saudi, Kuwait juga memutuskan untuk memanggil semula dutanya di Lubnan untuk berunding dan meminta diplomat Lubnan di Kuwait meninggalkan negara ini dalam tempoh 48 jam, kata Agensi Berita Kuwait (KUNA).
Keputusan itu dibuat berikutan tindakan Lubnan membuat kenyataan negatif dan keengganan untuk mengendalikan kecaman yang dibuat terhadap Arab Saudi dan anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang lain.
Selain itu, keputusan berkenaan ada kena mengena dengan kegagalan kerajaan Lubnan mengambil tindakan menghentikan penyeludupan narkotik yang semakin meningkat ke Kuwait dan negara-negara GCC yang lain,” kata Kementerian Luar Kuwait dalam satu kenyataan.
Tambahnya, kenyataan itu berdasarkan “hubungan sejarah, ikatan yang berakar umbi dan nasib yang sama antara Kuwait dan Arab Saudi.
Arab Saudi pada hari Jumaat memutuskan untuk mengharamkan semua import dari Lubnan dan memberi duta Lubnan 48 jam untuk meninggalkan kerajaan itu, selepas komen Menteri Penerangan Lubnan, George Kordahi yang menggelar tindakan Houthi Yaman sebagai “mempertahankan diri” terhadap gabungan pimpinan Arab Saudi.
Pada sidang akhbar pada hari Rabu, Kordahi menolak dakwaan yang menuduhnya bermusuhan dengan Arab Saudi dan berkata “tiada siapa yang harus menentukan apa yang perlu dilakukan oleh Lubnan dari segi mengekalkan menteri dalam kerajaan atau tidak.”
Hizbullah Lubnan yang secara de facto mendominasi Parlimen, enggan tunduk kepada tuntutan Arab Saudi agar Kordahi meletak jawatan. – Xinhua