Home Nasional Laporan penuh siasatan anggota bomba lemas diketahui dua minggu lagi

Laporan penuh siasatan anggota bomba lemas diketahui dua minggu lagi

Anggota bomba yang pengsan ketika operasi menyelamatkan mangsa banjir meninggal dunia.

MELAKA – Laporan penuh mengenai kematian pegawai bomba Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh yang lemas ketika menjalankan operasi menyelamat mangsa banjir di Sungai Putat, Ayer Keroh di sini, akan diketahui dalam tempoh dua minggu lagi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Abu Bakar Katain berkata siasatan dalaman di peringkat JBPM negeri siap minggu lepas, manakala siasatan akhir melibatkan pegawai kanan dari ibu pejabat JBPM Putrajaya selesai hari ini.

Beliau berkata 13 pegawai dan beberapa orang awam yang terlibat dalam operasi itu telah dirakam percakapan.

”Siasatan yang merangkumi segala aspek termasuk prosedur operasi standard, kelemahan dan kekuatan serta situasi insiden yang berlaku itu diketuai oleh pegawai kanan ibu pejabat JBPM Putrajaya yang turut melibatkan pakar perubatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan hasil sumbangan bekas Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Wan Mohd Nor Ibrahim serta orang ramai berjumlah RM12,450 kepada balu Allahyarham, Noraida Che Nor, 39, di rumahnya di sini hari ini.

Allahyarham yang berusia 46 tahun mempunyai empat orang anak iaitu Muhammad Daniel Hakimie,18, Nurul Ain Balqis,16, Muhamad Danish Hakim,12, dan Nurul Anisah Ilya,9.

Pada 20 Okt lepas, Allahyarham Mohd Diya yang merupakan Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah dilaporkan lemas ketika cuba menyelamatkan mangsa banjir di Kampung Sungai Putat di sini.

Insiden pada kira-kira 5 petang itu berlaku semasa Allahyarham yang sedang cuba memasang tali bagi menyelamatkan mangsa banjir yang terperangkap, tergelincir akibat ditolak arus deras dan paras air yang meningkat dengan mendadak.

Mohd Diya disahkan meninggal dunia pada 21 Okt lepas ketika mendapatkan rawatan di Zon Merah Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka. – MalaysiaGazette