KUALA LUMPUR – Sebanyak 297 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam Op Motosikal dan Op Pelbagai Kesalahan yang dijalankan selama tiga hari bermula Jumaat lalu.
Dalam masa yang, seramai 23 orang ditahan menerusi Operasi Samseng Jalanan, Op Motosikal dan Op Pelbagai Kesalahan yang dijalankan selama tiga hari bermula Jumaat lalu.
Turut disita dalam operasi pelbagai yang berakhir hari ini adalah 15 buah motosikal kerana struktur kenderaan (ekzos) yang diubah suai .
Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasan Trafik ACP Sarifudin Mohd Salleh, seorang lelaki 35 tahun turut ditahan dalam Op Motosikal di Jalan Pahang pada Jumaat lalu kerana disyaki mencuri dan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
“Lelaki tersebut yang tidak mempunyai pekerjaan telah diserahkan kepada IPD Sungai Buloh untuk tindakan selanjutnya,” katanya menerusi kenyataan.
Manakala semalam, dua orang penunggang motosikal berumur 18 dan 24 tahun juga ditahan kerana memalsukan pendaftaran kenderaan.
“Kedua-dua ini melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29 (1 ) AKK 1955 dan akan dituduh di bawah Seksyen 108(3)(e) APJ 1987 kerana kesalahan memalsukan nombor pendaftaran
kenderaan,”tambahnya.
Dalam masa sama, 14 orang lelaki yang berumur dalam lingkungan 25 hingga 64 tahun telah ditahan dalam operasi pelbagai kerana memandu dibawah pengaruh alkohol.
“Kesemua tangkapan telah dibawa ke Balai Polis Trafik, Kuala Lumpur dan akan dituduh di bawah seksyen Sek 45(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” tambahnya.
Bagi Operasi Samseng Jalanan pula, Unit Risikan JSPT menahan enam lelaki di Lebuhraya DUKE kerana menunggang dalam keadaan berbahaya dengan melakukan aksi zig – zag, roket, superman serta bersaing.
“Kesemua tangkapan berumur dalam lingkungan 17 hingga 39 tahun telah dibawa ke Balai Polis Trafik, Kuala Lumpur dan akan dituduh di bawah Seksyen 42(1) APJ 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain,” ujarnya.-MalaysiaGazette