Home Nasional Pakej Cuti Penjawat Awam rancakkan pelancongan domestik

Pakej Cuti Penjawat Awam rancakkan pelancongan domestik

Orang ramai melihat pertunjukan memberi makan ikan selepas kerajaan membenarkan pembukaan sektor pelancongan dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 3 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Aquaria KLCC, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 02 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui agensinya, Tourism Malaysia hari ini melancarkan Pakej Cuti Penjawat Awam dan Pesara Kerajaan melibatkan produk-produk pelancongan di seluruh negara dalam
usaha merancakkan pelancongan domestik.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pakej ini merupakan kesinambungan Pakej Istimewa Penjawat Awam yang telah dilancarkan pada 3 September 2020 dengan memfokuskan kepada produk-produk di sekitar Lembah Klang sebelum diperluaskan ke negeri Sabah.

“Kita menyasarkan pelancaran pakej kali ini dapat menarik seramai mungkin penjawat awam dan pesara kerajaan untuk melancong di dalam negara termasuk 1.2 juta ahli CUEPACS dan 700,000 pesara kerajaan.

“Inisiatif Pakej Cuti Penjawat dan Pesara Kerajaan ini diharap dapat menyemarakkan kembali pelancongan domestik sekali gus membantu pemulihan industri pelancongan negara yang terkesan ekoran pandemik Covid-19,” katanya menerusi kenyataan.

Katanya, pakej tersebut diwujudkan hasil kerjasama MOTAC dengan Kesatuan Pekerja-Pekerja Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM) dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS)

Menurut beliau, sehingga kini sebanyak 457 pakej telah dibangunkan melibatkan produk-produk pelancongan dari seluruh Malaysia dengan tawaran harga pakej serendah RM120 seorang dan tempoh sah pakej sehingga 30 Jun 2022.

Jelas Nancy, selain pakej penginapan, para penjawat awam dan pesara kerajaan juga dapat menikmati tawaran diskaun bagi harga tiket sehingga 30 peratus.

Antara produk pelancongan yang tersenarai ialah Putrajaya, I-City Shah Alam, Genting Highland, Sky Bridge KLCC, Sky Mirror Kuala Selangor, Taman Negara Endau Rompin, Taman Negara Mulu, Royal Belum, Kilim Geoforest Park, Danum Valley, Wakaf Che Yeh, Taman Tamadun Islam dan banyak lagi. -MalaysiaGazette