KUALA KANGSAR – Pelaksanaan Undi 18 bermula 1 Jan tahun hadapan merupakan amanah dan kepercayaan yang diberi kepada anak muda untuk memilih kerajaan, sekali gus menentukan masa depan negara pada pilihan raya akan datang.
Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad berkata, anak muda yang baru didaftarkan sebagai pengundi, terutama yang berusia 18 tahun dinasihatkan agar tidak memilih calon parti mengikut emosi.
“Pengundi muda hendaklah menggunakan amanah dan kepercayaan ini dengan betul dan jangan mengundi mengikut emosi dan perasaan, tetapi sebaliknya menggunakan rasional dan ilmu kefahaman dengan memilih sebuah kerajaan yang kuat serta stabil.
Saarani yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program Moh Mengopi di Warung Abang Chik, Kampung Padang Assam, di Kuala Kangsar hari ini.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Undi 18 akan dilaksanakan bermula 1 Jan tahun hadapan sepertimana diputuskan Mahkamah Tinggi Kuching, Sarawak sebelum ini.
Ismail Sabri dilaporkan berkata, Kabinet tidak akan merayu keputusan berkenaan walaupun sebelum ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan persediaan ke arah pelaksanaannya hanya boleh dibuat menjelang September tahun depan.
Setakat ini, lebih 495,000 pengundi berusia 18 tahun dan ke atas di Perak dijangka mengundi untuk kali pertama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Jumlah hampir setengah juta orang itu dilihat akan memberi pengaruh besar terhadap keputusan pilihan raya.
Terdahulu, dalam ucapannya Saarani berkata anak muda yang kebanyakannya tidak mempunyai asas politik diingatkan supaya memilih gabungan yang terdiri daripada parti dominan bagi menubuhkan sebuah kerajaan yang stabil.
“Saya ingin mengingatkan para pengundi supaya tidak mengulangi kesilapan pada 2018 (pada PRU yang lepas) iaitu rakyat memilih kerajaan yang tiada satu pun parti dominan dan ini sangat bahaya pada kestabilan kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette