MELBOURNE – Australia melonggarkan sekatan sempadan antarabangsanya buat pertama kali bermula hari ini dan membenarkan orang awam yang telah divaksin lengkap untuk melakukan perjalanan dengan bebas.
Banyak keluarga dapat bersatu semula dan mencetuskan pelukan emosi di lapangan terbang Sydney selepas 18 bulan tertakluk kepada dasar sempadan Covid-19 yang paling ketat di dunia.
Sebuah penerbangan oleh Qantas Airways dari Los Angeles mendarat di Sydney pada pukul 6 pagi, antara pesawat pertama yang membenarkan warga Australia yang divaksin keluar tanpa perlu menjalani kuarantin.
Penumpang antarabangsa juga tiba di Sydney melalui Singapore Airlines pada awal Isnin.
Walaupun penerbangan awal terhad kepada warganegara Australia, penduduk tetap dan keluarga terdekat mereka, negara ini sudah bercadang untuk membuka semula negara kepada pelancong dan pekerja antarabangsa.
Langkah ini untuk menghidupkan semula Australia.
Warga Australia dan penduduk tetap yang tinggal di luar negara kini boleh kembali, dengan data Kementerian Luar menunjukkan kira-kira 47,000 akan berbuat demikian.
Kebanyakan pelancong yang telah divaksin perlu menunggu untuk datang ke Australia, walaupun pelancong yang telah divaksin dari New Zealand akan dibenarkan masuk mulai Isnin.
Rakyat Singapura boleh pergi ke Australia, tanpa kuarantin, mulai 21 November ini.
Mereka yang tidak divaksin akan menghadapi sekatan kuarantin dan memerlukan bukti ujian negatif Covid-19 sebelum menaiki pesawat.- Reuters