Home Utama Kerajaan sambung kontrak 10 pakar berkuatkuasa serta-merta

Kerajaan sambung kontrak 10 pakar berkuatkuasa serta-merta

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diiringi Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba (dua kiri), Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (kanan) dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (dua kanan) menyempurnakan gimik perasmian pada Majlis Pelancaran Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) dan Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI) di Institut Genom Malaysia, Bangi. Foto SYAFIQ AMBAK, 01 NOVEMBER 2021.

BANGI – Kerajaan bersetuju untuk menyambung kontrak 10 pakar penyelidik vaksin di universiti-universiti yang tamat tempoh perkhidmatan pada usia 60 tahun selama lima tahun lagi berkuatkuasa serta-merta.

Keputusan ini bagi memastikan pakar-pakar tempatan negara yang mendapat pengiktirafan antarabangsa khususnya dalam bidang genom dan vaksin tidak disambar oleh negara-negara lain, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Kita mempunyai pakar ternama dan terbaik dunia. Misalnya pakar vaksin untuk kanser kepala dan leher. Kita ada pakar yang terbaik. Tetapi selepas mereka tamat tempoh perkhidmatan di universiti selepas mencapai usia 60 tahun, terserah kepada universiti sama ada untuk menyambung perkhidmatan mereka secara kontrak. Biasanya setahun ke setahun.

“Kalau setahun ke setahun, mereka ini rasa tidak ada jaminan dari segi pekerjaan ataupun tugas yang mereka hendak laksanakan dan kita bimbang pakar-pakar terbaik ini akan diambil oleh negara lain.

“Ada sesetengah itu sedang membuat penyelidikan. Kalau tidak disambung jadi mungkin akan menjejaskan kajian yang sedang dilakukan dan kalau disambung, dengan pakar baharu mungkin akan memakan masa dari segi kajian kerana pakar utama sudah tidak ada,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) serta Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI) di sini hari ini.

Sejajar dengan pelancaran PPVN dalam usaha menjadikan Malaysia salah sebuah negara pengeluar vaksin utama dunia, kontrak kumpulan pakar ini perlu disambung.

Ismail Sabri berkata, sambungan perkhidmatan mereka ini tertakluk kepada syarat yang akan dipertimbang serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dijalankan hendaklah berorientasikan kepada nilai kebolehpasaran dan dikomersialkan ke seluruh dunia.

Malah, 10 pakar berkenaan dikehendaki melatih pakar-pakar baharu sebagai golongan pelapis untuk menjayakan kajian mereka.

“Kita akan mendapatkan secara terperinci jumlah berapa ramai pakar daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kerana yang saya tengok tadi ada 10 pakar.

“Setakat ini kita bersetuju mengekalkan pakar-pakar ini agar terus menjalankan penyelidikan dalam subjek tertentu yang kita anggap sebagai keperluan, maka kita setujulah untuk sambung mereka secara automatik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette