Home Nasional Lebih 46,000 banduan positif Covid-19

Lebih 46,000 banduan positif Covid-19

Antara banduan yang ditahan di Penjara Satelit Beranang, Depot Imigresen Sementara Millenium Beranang, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 03 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Seramai 46,550 banduan di seluruh negara disahkan positif Covid-19.

Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Jonathan Yasin berkata, jumlah yang dijangkiti itu adalah bagi tempoh 29 Ogos 2020 hingga 12 Oktober lepas.

Bagaimanapun katanya, jumlah itu tidak termasuk sembilan kes yang membabitkan bayi kepada banduan wanita.

“Daripada keseluruhan kes positif itu, seramai 559 banduan (1.3 peratus) dikategorikan sebagai kes masih aktif, manakala, 45,848 banduan (98.5 peratus) sudah sembuh dan 103 banduan (0.2 peratus) meninggal dunia akibat virus itu.

“Selain itu, jumlah semasa banduan yang disahkan positif Covid-19 pada 13 Oktober 2021 menurun kepada 60 orang atau 0.001 peratus,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen (PH-Puchong) Gobind Singh Deo yang bertanya mengenai jumlah kes Covid-19 dan kematian akibat virus itu dalam penjara di Malaysia.

Menurut Jonathan lagi, sehingga 30 Oktober lalu, seramai 237,660 banduan sudah menjalani saringan Covid-19.

Sementara itu, ketika menjawab mengenai status program vaksin di penjara Malaysia, Jonathan berkata, sehingga 8 Oktober lalu, seramai 60,012 orang banduan telah menerima vaksin dos satu dan dos dua serta dos tunggal.

Katanya, daripada jumlah tersebut seramai 31,691 orang telah menerima dos satu, 11,140 orang telah lengkap dos dua dan jumlah banduan yang menerima dos tunggal adalah seramai 17,181 orang.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Penjara Malaysia telah mengambil langkah proaktif bagi melaksanakan Program Pemberian Vaksinasi Covid-19 kepada banduan. – MalaysiaGazette