KUALA LUMPUR – Remuk hati seorang ibu apabila anak sendiri menjadi korban buli.
Itu trauma melanda Hawa Osman, ibu kepada Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain semasa memberi keterangan kepada Mahkamah Tinggi hari ini.
Sepanjang memberi keterangan lebih kurang 10 minit, Hawa tidak dapat menahan kesedihannya kerana kehilangan anak sulungnya pada empat tahun yang lalu.
Sehingga kini beliau masih tidak dapat melupakan tragedi tersebut.
Menurut Hawa, kematian Zulfarhan yang merupakan anak sulung daripada empat beradik itu memberi impak cukup mendalam terhadap diri dan keluarganya.
Bukan sahaja kesihatannya terjejas malah beliau juga tertekan kerana sering bersedih setiap kali mengenangkan pemergian anaknya.
“Saya alami katarak yang serius kerana sering menangis. Saya mengalami kesedihan berpanjangan kerana arwah lambang kasih sayang saya dan suami dalam membina keluarga kami.
“Kesihatan saya terjejas daripada 2017. Ekoran kejadian serta darah tinggi kerana tidak dapat tidur malam,” katanya di hadapan Hakim, Datuk Azman Abdullah.
Selepas kejadian itu, Hawa berkata beliau trauma untuk melepaskan tiga anaknya yang lain untuk menyambung pelajaran.
“Kejadian ini menyebabkan saya trauma untuk melepaskan anak lain untuk berdikari sambil menyambung pelajaran peringkat tertiggi kerana bimbang perkara ini berulang sekali kali,” tambahnya.
Kata Hawa lagi, Zulfarhan merupakan anak yang diharapkannya menjaga dirinya dan suami selain membiayai adik-adiknya untuk menyambung pelajaran.
“Arwah anak sulung yang mana sepatutnya ketika ini arwah yang akan membantu keluarga membiayai adik-adik lain menyambung pelajaran kerana ayahnya sekarang pemandu teksi dan saya hanya kerani.
“Kami berdua menanam impian arwah akan menjaga kami di usia tua,”katanya lagi. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: