NIGERIA – Pihak berkuasa Nigeria telah mengarahkan siasatan kejadian bangunan 22 tingkat runtuh semasa pembinaan di Lagos akan dimaklumkan kepada umum.
Femi Adesina, Penasihat khas kepada Presiden Muhammadu Buhari berkata, presiden telah menggesa pihak berkuasa untuk meningkatkan usaha menyelamatkan mangsa.
Pasukan penyelamat bekerja sepanjang malam untuk mencari mangsa yang terselamat.
Memetik laporan BBC News pada hari ini, sekurang-kurangnya empat orang maut dan berpuluh orang lagi masih hilang.
Setakat ini, empat mangsa terselamat telah ditemui.
Punca kejadian dan jumlah mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan masih belum dapat dipastikan dalam kejadian berlaku sekitar pukul 2.45 petang waktu tempatan.
Ia merupakan sebahagian daripada kompleks bernama 360 Degrees Towers yang bertujuan untuk menempatkan pangsapuri mewah, rumah bandar dan penthouse.
Seorang pekerja pembinaan Eric Tetteh, 41, yang terselamat dalam kejadian itu berkata, dia sempat melarikan diri bersama abangnya.
“Saya dan abang saya, kami melarikan diri, tetapi lebih ramai orang berada di sana, lebih daripada 100 orang,” katanya.
Seorang saksi yang bekerja di bangunan pejabat bertentangan dengan tapak tersebut memberitahu, dia mendengar bunyi kuat dan apabila memandang ke luar tingkap dia melihat bangunan itu runtuh tingkat demi tingkat.
Pada 2019, seramai 10 orang maut selepas sebuah sekolah runtuh di hab komersial berkenaan.
Manakala pada tahun 2014, sebuah bangunan enam tingkat runtuh dan membunuh 116 orang.
Piawaian bangunan sering dikritik dan pihak berkuasa negeri Lagos baru-baru ini melancarkan skim baharu untuk menambah baik pensijilan. – Agensi
ARTIKEL BERKAITAN: