Home Nasional Polis giat kesan 7 kanak-kanak lelaki melarikan diri dari rumah perlindungan

Polis giat kesan 7 kanak-kanak lelaki melarikan diri dari rumah perlindungan

Ramli Mohamed Yoosuf

KUANTAN – Polis giat mengesan tujuh kanak-kanak lelaki berusia antara 12 hingga 15 tahun  yang percayai melarikan diri dari rumah perlindungan kanak-kanak di sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, siasatan awal mendapati kehilangan mereka disedari rakan sebaya dan memaklumkan kepada petugas harian di rumah perlindungan itu.

“Siasatan turut mengenal pasti punca sekumpulan penghuni berkenaan melarikan diri sama ada melalui pintu pagar atau memanjat pagar.

“Pihak polis melancarkan operasi mencari tujuh kanak-kanak lelaki berusia antara 12 hingga 15 tahun yang dipercayai meninggalkan asrama,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang, di sini, hari ini.

Beliau yang percaya kanak-kanak itu masih berada di daerah Kuantan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi pihak polis atau pergi ke balai polis berhampiran.

Dalam pada itu, Ramli tidak menolak kemungkinan kanak-kanak terbabit berlindung di tempat tertentu dan masih menyiasat motif kejadian. – MalaysiaGazette