Home Utama Saya solat hajat, baca Yasin sepanjang perjalanan ke mahkamah – Ibu Zulfarhan

Saya solat hajat, baca Yasin sepanjang perjalanan ke mahkamah – Ibu Zulfarhan

Zulkarnain Idris bersama isteri, Hawa Osman hadir pada keputusan akhir kes kematian anak mereka Zulfarhan Osman yang berlaku pada 2017 di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 02 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR –  Ibu kepada Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain  tidak berhenti-henti berdoa agar kematian anaknya pada 2017 mendapat pembelaan.

Selain membuat solat hajat semalam, Hawa Osman turut membacakan Yasin dan berdoa di sepanjang perjalanan ke Kompleks Mahkamah di sini  agar urusan pengumuman keputusan hari ini dipermudahkan.

“Saya ada buat sembahyang hajat sepanjang perjalanan saya baca Yasin semoga Allah permodahkan urusan kami sekeluarga dan Allah makbulkan doa kami supaya Allahyarham Zulfarhan Osman mendapat pembelaan yang sewajarmya,” katanya kepada pemberita yang tiba di Kompleks Mahkamah di sini lebih kurang 8.28 pagi. 

Beliau tiba bersama suaminya, Zulkarnain Idros, 57, dan kedua-dua mereka memakai baju yang sama bertulis #justice4farhan #sayNOtoBully #humanity.

Dalam pada itu, Zulkarnain ketika ditemui turut menyatakan harapannya yang menggunung terhadap keputusan mahkamah hari ini.

Selama empat tahun turun naik mahkamah menghadiri prosiding perbicaraan anaknya, beliau mengakui tertekan dan penat sehingga diserang sakit jantung.

“Selama empat tahun saya ulang alik mahkamah  kemudian dua tahun lalu saya mengalami sakit jantung oleh kerana terlampau penat,” tambahnya.

Nasib 18 penuntut UPNM yang didakwa membunuh, bersubahat membunuh dan Zulfarhan bakal diketahui hari ini.

Ini selepas pembelaan menutup kes berkenaan pada 8 April lalu setelah memanggil 18 penuntut UPNM dan dua saksi lain iaitu Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh, Dr Rohayu Shahar Adnan dan penuntut UPNM, Muhammad Alif Farhan Aerosni pada prosiding membela diri yang bermula 2 Oktober 2019.

Pendakwaan pula mengemukakan 31 orang saksi termasuk Pakar Perubatan Forensik Hospital Serdang, Dr Salmah Arshad serta dua saksi yang melihat perbuatan menekap seterika wap ke badan mangsa iaitu Ahmad Senabil Mohd dan Mohd Syafiq Abdullah kedua-duanya penuntut UPNM, pada perbicaraan yang bermula 29 Januari 2018.

Untuk rekod, media pada 2017  melaporkan kes kematian Zulfarhan kerana didera oleh beberapa rakan universitinya selepas dituduh mencuri komputer riba milik rakan lain.

Allahyarham yang merupakan penuntut tahun tiga jurusan Kejuruteraan Elektrik meninggal dunia di Hospital Serdang dengan kesan lebam dan melecur di bahagian dada, tangan serta kaki dipercayai akibat ditekap dengan seterika wap. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Ibu Allahyarham Zulfarhan mengharapkan keputusan terbaik esok