Home Politik Ada pihak gembira bila rakyat kecewa tak dapat keluar RM10,000 KWSP

Ada pihak gembira bila rakyat kecewa tak dapat keluar RM10,000 KWSP

Ahmad Zahid Hamidi new Cabinet
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO mendakwa, ada pihak yang gembira menyaksikan rakyat kecewa kerana tidak dapat membuat pengeluaran wang simpanan KWSP sebanyak RM10,000.

Bahkan, ada pihak-pihak yang menyalahkan parti itu yang terus dan berusaha membantu orang ramai mendapatkan pengeluaran wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihak berkenaan fikir kekecewaan rakyat itu akan memberi manfaat kepada mereka menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak lama lagi.

Tapi, katanya, tanpa mereka sedari tahap kecaknaan majoriti rakyat Malaysia termasuk orang Melaka yang akan mengundi pada 20 November ini tidak sama seperti tiga tahun lepas.

Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei 2018 telah mengajar rakyat untuk meneliti setiap keadaan dan menilai apa yang sebenar disebaliknya.

”Mereka kini tahu maklumat manakah yang disampaikan kepada mereka tentang sesuatu perkara adalah fakta dan maklumat manakah yang bersifat auta.

”Dalam isu dana KWSP, mereka tahu pihak manakah yang sebelum ini mendesak kerajaan membenarkan rakyat mengeluarkan wang KWSP semasa dalam kesusahan akibat Covid-19.

”Mereka juga tahu pihak manakah yang sentiasa berusaha memberi alasan demi alasan untuk menafikan hak mereka mendapatkan wang berkenaan.

”Dan pada hari ini mereka tahu pihak manakah yang terus mendesak pengeluaran wang KWSP sebagai effort membantu kelangsungan hidup rakyat,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook.

Zahid menambah, senario ini sebenarnya satu lagi bukti mengapa rakyat perlu memastikan Barisan Nasional (BN) dapat membentuk semula sebuah kerajaan yang solid dan teguh supaya dapat meneruskan apa sahaja agenda dan perancangan membantu kesejahteraan hidup rakyat secara mutlak tanpa terikat dengan pihak yang bercanggah.

”InsyaAllah sgala-galanya akan bermula di Melaka,” ujarnya. – MalaysiaGazette