Home Seni Hidup ‘Char Kuetiau Abah’ jadi lokasi santai kelab motosikal berkuasa tinggi

‘Char Kuetiau Abah’ jadi lokasi santai kelab motosikal berkuasa tinggi

Konvoi DOCM tidak melepaskan peluang rentas negeri untuk menikmati ‘Char Kuetiau Abah’ di Kompleks Bukit Jambul, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Jika pelancong tempatan lain berpusu-pusu ke Pulau Mutiara bagi menikmati nasi kandar namun berbeza bagi golongan konvoi motosikal berkuasa tinggi,  Desmo Onwers Club Malaysia (DOCM).

Mereka yang terdiri dalam 215 individu berkonvoi lebih 300 kilometer dari ibu negara ke sini bagi menikmati ‘Char Kuetiau Abah’ yang terletak di tingkat satu, Kompleks Bukit Jambul di sini hari ini.

Menurut seorang ahli DOCM, Anuar Ibrahim, 40, dia serta ahli yang lain menunggu pengumuman kerajaan bagi aktiviti rentas negeri memandangkan sudah lebih setahun tidak menikmati char kuewtiau di premis berkenaan.

Anuar.

“Selalunya sebut saja Pulau Pinang orang mesti teringin nasi kandar tapi buat kami ia sedikit berbeza kerana char kuetiau menjadi pilihan utama.

“Kita tahu semua orang mesti nak rentas negeri sebaik kerajaan umum sebab itu kami konvoi ke sini agak lewat agar tidak sangkut dalam kesesakan jalan raya sekali gus menikmati keenakan ‘char kuetiau abah’,” katanya.

Sebahagian ahli DOCM ketika menikmati char kuetiau abah di Kompleks Bukit Jambul.

Mengulas lanjut, Anuar berkata, keenakan ‘char kuetiau abah’ itu sama seperti sebelum ini walaupun premis di Bukit Jambul itu telah diuruskan oleh anak kepada pemilik asal.

Sementara itu, pemilik ‘char kuetiau abah’, Husna Rabtah Norhazlisham, 20, berkata, minat dalam bidang perniagaan pada usia muda membuatkan dia membuka cawangan baharu perniagaan asal ayahnya di Kompleks Bukit Jambul.

“Memang sudah ada dua cawangan yang diuruskan ayah serta abang saya namun saya mahu ada perniagaan sendiri dalam usia sebegini agar boleh menjadi contoh kepada anak muda lain untuk menceburi perniagaan bidang masakan.

Husna Rabtah (tengah) sibuk melayan pelanggan yang menjengah ke kedainya di Kompleks Bukit Jambul di sini.

“Bukan mudah bagi anak muda untuk membuka cawangan dalam kompleks beli-belah jadi saya ambil ini sebagai cabaran sekali gus memastikan legasi char kuetiau abah terus menjadi sebutan orang ramai,” jelas Husna Rabtah. – MalaysiaGazette