PUTRAJAYA – Datuk Seri Dr Adham Baba mengakui perasaannya gentar apabila mahu menandatangani kuasa Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) ketika memegang jawatan sebagai Menteri Kesihatan sebelum ini.
Ini kerana beliau tahu sekiranya akta tersebut dilaksanakan, ia bakal menyebabkan segala aktiviti harian masyarakat akan tersekat dan semua orang perlu duduk di rumah.
Bagaimanapun ia terpaksa dilakukan kerana negara perlu memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.
“Perkara ini tidak pernah didedahkan apabila saya hendak menandatangani Akta 342, hendak melaksanakan lockdown pada 18 haribulan Mac 2020. Semua orang diminta duduk di rumah, termasuk menteri-menteri.
“Itulah saat paling gentar bagi saya tak pernah dalam sejarah seorang menteri menandatangani Akta 342 menyebabkan orang tak bergerak, kerana pencegahan penularan virus Covid-19,” kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) ketika berkongsi pengalaman pada Majlis Perkongsian Strategik Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) hari ini.
Hadir sama pada majlis itu Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Mengulas lanjut, Dr. Adham berkata, beliau dan Khairy menggunakan akta tersebut dengan sebaik mungkin dalam usaha mengawal dan mencegah penularan wabak tersebut.
Malah jelas beliau, ada perkara yang ditambah dalam akta berkenaan menerusi seksyen tertentu dengan lima pindaan termasukan jumlah kompaun yang diperkenalkan hari ini.
Katanya, ketika kompaun hanya dikenakan sebanyak RM1,000 bagi kesalahan-kesalahan tertentu pihaknya menerima pelbagai kritikan sehingga mendapat maki hamun dalam kalangan ahli Dewan Rakyat di Parlimen.
“Inilah saat-saat yang begitu getir ataupun payah untuk diputuskan kerana ada dalam kalangan kita yang tidak menyukai perkara ini,” ujarnya.
Cabaran paling utama ketika itu adalah untuk menguruskan pandemik Covid-19 selepas diminta oleh Perdana Menteri sebelum ini untuk menyelesaikan masalah berkaitan PICK.
“Jadi, dari situlah kita dapat menghasilkan kejayaan PICK yang ada pada hari ini dan boleh dikategorikan tercemerlang dalam dunia,” katanya.
Sebelum ini, Akta 342 digunakan untuk menguatkuasakan semua perintah berkaitan Covid-19 sebelum Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 dikuatkuasakan pada 11 Januari lalu.- MalaysiaGazette