KUALA LUMPUR – Institut Penyelidikan Klinikal (ICR), Institut Kesihatan Negara (NIH) yang menjalankan kajian penggunaan Ivermectin (I-TECH) ke atas 500 pesakit Covid-19 mendapati ivermectin didapati tidak mencegah penyakit Covid-19 daripada menjadi serius.
Lantaran itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak akan menyarankan penggunaan Ivermectin dimasukkan dalam garis panduan rawatan Covid-19 yang sedia ada di negara ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, kajian I-Tech ke atas 500 pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke hospital dengan kategori 2 atau 3 telah menilai keberkesanan rawatan 5 hari ivermectin (0.4mg/kg/hari) berserta penjagaan standard (kumpulan IVM), berbanding dengan hanya penjagaan standard (kumpulan SOC) yang berdasarkan garis panduan KKM untuk pesakit di 20 hospital kerajaan dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 MAEPS 2.0.
Kajian percubaan klinikal tersebut telah dijalankan oleh pakar perubatan penyakit berjangkit dan pakar perubatan yang terlibat secara aktif dalam pengurusan Covid-19 dengan kerjasama Institut Penyelidikan Klinikal (ICR), di bawah Institut Kesihatan Negara (NIH).
Hasil utama kajian I-Tech untuk melihat sama ada pemberian ubat ivermectin pada minggu pertama pesakit mengalami gejala penyakit Covid-19 berupaya
untuk mencegah kemerosotan penyakit Covid-19 kepada tahap yang teruk (kategori 4 atau 5), iaitu di kalangan pesakit berumur 50 tahun dan ke atas, serta mempunyai sekurang-kurangnya satu komorbiditi.
Katanya, Dr. Kalaiarasu M. Peariasamy, Pengarah ICR memaklumkan kajian I-TECH telah menunjukkan kadar kemerosotan penyakit Covid-19 kepada tahap teruk adalah sama di dalam kumpulan IVM jika dibandingkan dengan kumpulan SOC, iaitu masing-masing pada 21.2 peratus dan 17.3 peratus.
Bagi dapatan yang sama, purata tempoh kemerosotan adalah 3.0 hari bagi kumpulan IVM dibandingkan dengan 2.9 hari untuk kumpulan SOC, namun tiada perbezaan yang signifikan dari segi statistik.
Noor Hisham berkata, kajian yang telah dijalankan oleh KKM ini mendapat kelulusan Jawantankuasa Etika dan Penyelidikan Perubatan pada 25 Mei 2021.
Kajian tersebut juga telah didaftarkan di ClinicalTrials.gov pada 31 Mei 2021 bagi mendedahkan maklumat penting berkenaan kajian I-TECH kepada umum.
Daripada 500 subjek yang didaftarkan dalam kajian ini, seramai empat individu telah dikecualikan kerana tidak memenuhi kriteria kajian, manakala seramai enam individu telah menarik diri atas sebab kebimbangan terhadap kesan sampingan ivermectin.
Subjek terakhir direkrut pada 9 Oktober 2021 dan penilaian susulan terakhir adalah pada 25 Oktober 2021.
Menurut penyelidik utama kajian I-TECH, Dr. Steven Lim Chee Loon, Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, tiada perbezaan ketara didapati dari segi kemasukan ke ICU, penggunaan alat bantuan pernafasan mekanikal, pemulihan simptom, parameter ujian darah dan resolusi imbasan X-Ray dada di antara keduadua kumpulan tersebut.
Kebarangkalian untuk pulih dari gejala sepenuhnya pada hari kelima penyertaan di antara kumpulan IVM dengan SOC adalah hampir sama, yang mana tiada perbezaan yang signifikan dari segi statistik.
Selain daripada itu, analisis keselamatan melaporkan kesan sampingan adalah tiga kali lebih kerap berlaku di dalam kumpulan IVM berbanding kumpulan SOC; yang mana kebanyakannya adalah kes cirit birit.
Sementara itu, terdapat trend pengurangan mortaliti dalam tempoh 28 hari bagi kumpulan IVM berbanding dengan penjagaan standard, namun trend pengurangan ini tidak mencapai keputusan statistik yang signifikan.
Menurut Profesor Dr. Lai Nai Ming dan Profesor Madya Dr. Karuthan Chinna dari Taylor’s School of Medicine yang bertanggungjawab menyediakan analisis statistik secara bebas, kajian I-TECH tidak dapat mengesahkan dapatan bahawa penggunaan ivermectin di hospital dapat mengurangkan kematian dalam tempoh 28 hari, berbanding dengan penjagaan standard sahaja.
Ini kerana jumlah kematian adalah amat kecil (13/490) dan ini seterusnya menyebabkan penilaian yang terhad ke atas hasil dapatan tersebut.
”Berdasarkan hasil kajian I-TECH, ivermectin tidak disyorkan untuk dimasukkan ke dalam garis panduan rawatan Covid-19 sedia ada kerana ivermectin tidak mengurangkan risiko penyakit Covid-19 tahap teruk.
”KKM menyarankan agar ivermectin hanya digunakan dalam kajian klinikal dengan pemantauan. Keputusan I-TECH juga selari dengan kajian berskala besar seperti IVERCOR-COVID19 dari Argentina dan TOGETHER dari Brasil yang tidak menyokong penggunaan rutin ivermectin dalam amalan klinikal rawatan COVID-19,” ujarnya.
Pasukan kajian I-TECH bercadang menghantar data kajian tersebut untuk diterbitkan didalam jurnal peer-reviewed bagi memberi maklumat tambahan kepada
kajian-kajian ivermectin termasuklah meta-analysis.
Noor Hisham berharap dapatan kajian tempatan ini dapat memberi pencerahan kepada pengamal perubatan di Malaysia dan juga kepada orang ramai yang sering bertanya mengenai keberkesanan ivermectin dalam amalan klinikal rawatan Covid-19.
Sehubungan itu, pengamal perubatan diingatkan untuk tidak mengesyorkan penggunaan ivermectin termasuklah berkongsi pengiklanan mahupun penjualan secara haram ivermectin dengan tujuan merawat Covid-19 sehingga bukti saintifik yang lebih kukuh tersedia. – MalaysiaGazette