KUALA LUMPUR – Dermawan dan aktivis sosial terkenal, Datuk Seri R. Jeyendran menyumbang barangan keperluan sempena menjelangnya sambutan Deepavali esok.
Jeyendran yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd itu menyerahkan hamper barangan asas itu kepada golongan memerlukan dan terjejas pandemik ketika ini di sekitar Ampang dan Klang baru-baru ini.
Beliau telah menyerahkan bantuan hamper tersebut dengan kerjasama Pergerakan Belia Inspirasi (PBI), Ampang Tamil School Alumni (ATSA) dan juga Triumph Convention Centre (TCC).
Antara yang menerima bantuan daripada Jeyendran ini termasuklah golongan OKU, ibu tunggal, warga emas, B40 yang sememangnya yang sedang melalui fasa kehidupan sukar.
Kata Jeyendran, sambutan Deepavali yang bermaksud cahaya itu sepatutnya menjadi pedoman kepada golongan sepertinya untuk tampil membantu yang memerlukan sekaligus menerangi kehidupan mereka pada masa ini.
Jelasnya, beliau sendiri terdedah dengan keadaan dan keperitan rakyat Malaysia akibat Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mula dilaksanakan di negara sejak tahun lepas lagi.
“Saat ini negara benar-benar melalui satu fasa cukup sukar, masing-masing terdesak sehingga terpaksa mohon bantuan untuk sesuap nasi. Rata-rata mereka hidup dalam kesusahan, dulu ada kerja, ada duit hidup juga dalam keadaan baik.
“Tapi pandemik ini telah mengubah segalanya, saya sendiri beberapa hampir menitik airmata melihat penderitaan dan desakan kehidupan yang dilalui oleh rakyat di negara kita sendiri.
“Atas kesedaran itu juga saya telah ambil inisiatif untuk melakukan sumbangan ini kepada masyarakat India yang akan menyambut Deepavali, sedikit sebanyak saya lega dapat membantu selagi yang boleh,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Ahli perniagaan itu akan terus aktif dalam menyalurkan sumbangan melalui program tanggungjawab korporat sosial (CSR) syarikatnya dari masa ke semasa.
“Pandemik Covid-19 masih belum berakhir, saya sentiasa dihubungi untuk diberikan sumbangan dari masa ke semasa, bukan sahaja Deepavali atau Hari Raya sebaliknya sejak dua tahun ini memang saya secara peribadi dan seluruh warga Maritime Network tampil membantu. Kita sama-sama bantu sesama sendiri.
“Kepada semua khasnya masyarakat India di negara, kami di Maritime Network ingin ucap Selamat Hari Deepavali, tolong sentiasa patuhi SOP dan jaga keselamatan diri serta insan tersayang,” ujarnya. – MalaysiaGazette