Home Nasional MAPIM gesa kerajaan gubal dasar industri judi

MAPIM gesa kerajaan gubal dasar industri judi

Mohd Azmi Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa supaya menggubal dasar dalam industri judi khususnya apabila membabitkan rakyat di negara ini yang beragama Islam seperti didedahkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen baru-baru ini.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, pendedahan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Port Dickson itu didakwa membimbangkan apabila ribuan orang Melayu terlibat dalam perjudian di dalam 65 kelab judi yang dilesenkan dan 45 peratus darinya terdiri daripada orang Melayu.

Katanya, industri perjudian boleh menyumbang kepada keganasan rumah tangga, ketidakstabilan keluarga, keselamatan awam, muflis, sindiket jenayah, produktiviti kerja terjejas dan tekanan mental.

“Kami mengambil perhatian berat pernyataan Ketua Pembangkang di Parlimen mengenai penglibatan orang Melayu Islam dalam amalan berjudi.

“Kerajaan perlu menjelaskan kenapa tindakan tidak diambil terhadap orang Melayu Islam yang terlibat dengan judi berlesen secara terang-terangan bila terlibat sebagai ahli kelab, perlu dijawab oleh kerajaan,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Mohd Azmi, adalah kesilapan besar sekiranya kerajaan terus memperakui bahawa cukai dari industri judi menyumbang kepada pendapatan negara.

Ujarnya, MAPIM berpendirian bahawa aktiviti perjudian membawa kepada kesan sosial yang negatif dan implikasi ekonomi yang tidak membantu akan membawa negara kepada kehancuran.

Katanya, mudarat daripada aktiviti judi adalah jauh lebih besar berbanding perolehan cukai yang didakwa menguntungkan negara.

Tambah beliau, begitu juga dengan kos membiaya kesan negatif sosial akibat judi tidak mungkin dapat ditampung oleh pendapatan cukai dari perjudian.

Terdahulu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson mendedahkan terdapat syarikat yang diberi lesen judi bagi menyemarakkan industri perjudian di negara ini. – MalaysiaGazette