WASHINGTON – Pentagon menafikan dakwaan Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) bahawa mereka telah mamatahkan cubaan Amerika Syarikat (AS) untuk menahan sebuah kapal tangki yang membawa minyak Iran di Laut Oman.
“Saya telah melihat dakwaan Iran, ia adalah palsu dan tidak benar, ia dakwaan palsu.
“Penahanan hanya dilakukan Iran,” kata jurucakap Pentagon, John Kirby kepada wartawan seperti dilapor Reuters.
Para pegawai AS berkata, hakikatnya angkatan tentera Iran telah merampas kapal tangki Vietnam pada bulan lalu dan tentera laut AS hanya memantau keadaan itu.
Sementara itu, di Tehran, agensi berita IRNA melaporkan IRGC mendakwa telah menggagalkan serangan AS ke atas sebuah kapal tangki Iran bagi merampas minyak di Laut Oman.
Menurut media tempatan, AS yang merampas sebuan kapal tangki Iran di Laut Oman telah memindahkan minyak ke sebuah kapal tangki lain dan membawa kapal itu ke suatu kawasan yang tidak diketahui.
Bagaimanapun pasukan IRGC yang melakukan operasi dengan menggunakan helikopter berjaya mengambil alih kapal tangki tersebut.
Pasukan tentera AS kemudian mengejar kapal tangki terbabit dengan menggunakan helikopter dan kapal perang namun gagal menawannya.
Kapal tangki tersebut kini berada di perairan Iran. – MalaysiaGazette