PENULARAN virus Covid-19 sejak awal tahun 2020 yang lalu telah banyak merubah kehidupan semua orang di dunia termasuk dalam Malaysia. Akibat daripada penularan virus Covid-19 ini dalam negara kita, pelbagai langkah drastik terpaksa diambil bagi membendung penularannya. Antara langkah paling drastik sekali yang telah diambil ialah dengan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Perintah PKP ini telah menyebabkan banyak sektor perniagaan, ekonomi dan pekerjaan ditutup. Penutupan sektor- sektor ini telah menganggu kehidupan ramai pihak.
Antara yang paling terjejas adalah golongan peniaga kecil-kecilan dan mereka yang bekerja sendiri. Sumber pendapatan orang ramai juga banyak yang terjejas. Walaupun PKP secara ketat ini dilihat sudah sampai ke penghujungnya, penularan virus Covid-19 ini dalam negara kita masih belum berakhir. Pelbagai langkah lain yang terpaksa diambil bagi melindungi tahap kesihatan dan keselamatan orang ramai daripada dijangkti dengan virus Covid-19 ini serta mutasi-mutasi yang muncul dari virus Covid-19 berkenaan yang lebih berbahaya dan mudah menjangkiti orang ramai.
Pelbagai langkah drastik juga terpaksa diberikan bagi memastikan semua pihak yang terjejas dengan penularan virus Covid-19 ini dapat meneruskan kehidupan mereka. Antara langkah yang diambil adalah dengan membenarkan orang ramai mengeluarkan wang simpanan persaraan mereka dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
KWSP yang ditubuhkan pada 1951 merupakan antara tabung simpanan persaraan tertua dan terbesar di dunia. Tujuan utama KWSP ini ditubuhkan ialah untuk menjadi organisasi keselamatan sosial terutamanya dalam menyediakan manfaat persaraan kepada para pekerja sektor swasta dan berpencen di Malaysia. KWSP memainkan peranan penting sebagai penjaga simpanan persaraan ahli KWSP dengan menyediakan perlindungan kewangan kepada para ahli KWSP atau waris mereka.
Wang simpanan KWSP ini adalah penting untuk kegunaan pekerja selepas mereka bersara kelak. Kita tidak tahu selama mana kita akan hidup selepas bersara nanti. Adalah penting untuk kita ketahui dengan kemajuan dunia sains dan teknologi perubatan, umur manusia makin lama makin panjang. Pemanjangan had usia manusia ini menuntut semua pihak untuk lebih bersiap sedia bagi hadapi segala kemungkinan luar jangka terutamanya dari aspek kewangan.
Kita tidak boleh menafikan kepentingan wang dalam kehidupan seharian kita. Wang adalah penting supaya kita dapat meneruskan kehidupan seharian kita tanpa mengharapkan bantuan serta menyusahkan orang sekeliling. Wang menjadi lebih penting selepas kita bersara kelak. Apabila usia meningkat, lebih banyak wang yang diperlukan dalam kehidupan kita. Ini adalah kerana peningkatan usia manusia akan memberi kesan terhadap kehidupan seharian mereka terutamanya dari aspek kesihatan.
Usia lanjut akan menyebabkan tahap kesihatan kita menurun. Penurunan tahap kesihatan ini akan mengundang kepada pelbagai jenis penyakit. Bagi merawati penyakit-penyakit ini, kita memerlukan wang bagi melakukan proses rawatan. Usia yang lanjut juga akan menyukarkan proses carian kerja kerana tenaga pun semakin berkurangan. Ini akan membantutkan lagi usaha untuk mencari sumber pendapatan apabila kita semua sudah sampai pada usia bersara kelak.
Ramai majikan di luar sana pun lebih gemar mendapatkan tenaga kerja dari kalangan orang muda yang lebih sihat dan bertenaga. Oleh yang demikian, adalah penting supaya kita memiliki sumber kewangan yang benar-benar kukuh bagi menampung kehidupan kita selepas bersara. Walaupun pihak kerajaan telah memberi persetujuan untuk pengeluaran awal wang persaraan dari KWSP ini melalui pengumuman Belanjawan 2021 yang lalu, namun langkah untuk mengeluarkan wang simpanan dari KWSP ini perlu difikir dengan baik dan teliti oleh semua penyimpan supaya simpanan wang hari tua mereka tidak terjejas sehingga boleh mambawa kesan terhadap kehidupan mereka dikemudian hari.
Adalah penting supaya orang ramai untuk memiliki simpanan wang untuk waktu-waktu kecemasan. Selain daripada menyimpan wang didalam KWSP untuk simpanan waktu persaraan, orang ramai juga perlu menyimpan wang untuk kegunaan waktu kecemasan. Setiap orang perlu menyimpan sedikit wang bagi digunakan ketika ia diperlukan tanpa perlu menyentuh simpanan persaraan mereka. Orang ramai perlu belajar pengurusan kewangan bagi mengurus aspek kewangan harian mereka. Amalan berjima-cermat perlu diamalkan dalam kehidupan seharian bagi memastikan terdapat lebihan wang untuk disimpan dan digunakan ketika waktu kecemasan.
Terpulang pada diri individu masing-masing sebanyak mana yang mereka ingin simpan wang mereka untuk kegunaan waktu kecemasan. Walaupun wang dijimat dan disimpan adalah sedikit, namun sekiranya ianya dilakukan setiap masa, wang yang berjaya dijimat dan disimpan berkenaan akan menjadi banyak. Bak kata pepatah, sedikit-sedikit lama – lama jadi bukit. Sikap menyimpan wang untuk kegunaan waktu kecemasan perlu disemai diwaktu kecil lagi. Kanak-kanak harus dilatih dari awal untuk menabung, mengamalkan sikap berjimat-cermat serta tidak membazir supaya mereka tidak menjadi kalam kabut dari sudut pengurusan kewangan apabila mereka menjadi dewasa kelak.
Dr. Muzaffar Syah Mallow,
Profesor Madya,
Fakulti Syariah & Undang- Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)