KUALA LUMPUR – Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) boleh menarik nafas lega selepas Kementerian Belia dan Sukan membenarkan Kontinjen Malaysia bertanding di Sukan Para Remaja Asia (AYPG) 2021 dari 2 hingga 6 Disember ini di Manama, Bahrain.
Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, sejumlah 14 atlet terdiri daripada lapan lelaki dan enam wanita yang akan mewakili Malaysia dalam enam jenis sukan, iaitu olahraga, badminton, boccia, renang, pingpong dan powerlifting.
Beliau juga menzahirkan rasa terima kasih kepada kementerian itu dan Majlis Sukan Negara di atas pertimbangan dan sokongan mereka kepada permintaan MPM untuk menyertai AYPG.
“Kami di MPM amat menyokong program intervensi awal untuk pembangunan ahli sukan lelaki dan wanita.
Mereka adalah masa depan kita dan kami akan sentiasa menumpukan untuk mengenal pasti dan melabur kepada belia-belia ini untuk menggantikan atlet-atlet kita yang sudah berusia. Program seperti ini juga memberikan harapan kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak kurang upaya untuk melibatkan diri dalam sukan sejak kecil lagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, AYPG 2021 akan menjadi platform kepada program pembangunan belia untuk dimulakan semula sebagai persiapan menghadapi Sukan Para Asia 2022 di Hanzhou, China, Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, England dan Sukan Paralimpik Paris 2024 di Perancis.
Kontinjen itu dijangka berlepas ke Bahrain pada 28 November ini dan kembali ke tanah air pada 7 Disember.
AYPG didedikasikan kepada belia berusia antara 13 hingga 23 tahun sementara sejumlah 25 daripada 44 negara dijangka menyertai temasya sukan setiap empat tahun sekali itu.
Pada 29 September lepas, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata MKPM perlu memikir semula untuk menghantar kontinjen negara ke AYPG 2021 dan kerana kementerian itu seakan keberatan untuk menyediakan peruntukan untuk penglibatan mereka berikutan dakwaan atlet-atlet tidak melakukan persiapan rapi untuk ke temasya sukan itu.
Dalam masa sama, Megat D Shahriman mengumumkan Kuching, Sarawak disenarai pendek sebagai berpotensi untuk menjadi tuan rumah AYPG 2025 oleh Jawatankuasa Paralimpik Asia.
“Kerajaan Negeri Sarawak selaku penyokong kuat Pergerakan Paralimpik, telah menyatakan hasratnya untuk menjadi tuan rumah temasya sukan itu pada 2025 harus diberi peluang untuk menganjurkannya. MPM bekerja rapat dengan Jawatankuasa Paralimpik Asia dan kami berharap Bandaraya Kuching diberikan peluang menjadi tuan rumah AYPG dalam 2025,” katanya.
Malaysia menyertai AYPG sejak edisi pertamanya di Tokyo pada 2009 dan menjadi tuan rumah pada edisi 2013. – MalaysiaGazette