KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) dijangka mengumumkan barisan calon untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka seawal-awalnya esok.
Sumber dalaman parti itu berkata, pengumuman tersebut akan dibuat oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Melaka.
“PN merancang untuk mengadakan majlis penamaan calon dalam masa terdekat, mungkin esok atau lusa. Pengumuman di Melaka tetapi boleh pantau secara live,” katanya hari ini.
Difahamkan pengumuman itu akan dibuat secara dalam talian di Facebook rasmi Muhyiddin Yassin.
“Pengumuman secara live (langsung), esok atau lusa dalam pukul 3 petang,” beritahu sumber lagi.
Muhyiddin sebelum ini mengesahkan gabungannya dengan Pas dan Parti Gerakan akan meletakkan calon di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada hari penamaan calon pada 8 November ini.
Pengesahan itu dibuat selepas kata sepakat untuk menjalinkan kerjasama dengan UMNO gagal dicapai sehingga ke hari ini.
Dalam pada itu, Pakatan Harapan (PH) juga dijadualkan akan membuat pengumuman barisan calonnya esok, juga di Melaka.
Pengumuman itu akan dibuat Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Namun lokasi dan waktu pengumuman masih dibincangkan antara PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP.
UMNO-BN pula akan mengumumkan barisan calon mereka Sabtu ini sebagaimana yang disahkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Ahmad berkata, majlis itu juga akan dibuat sepenuhnya dalam talian menerusi Facebook.
Setakat hari ini, difahamkan Barisan Nasional (BN) juga akan turut meletakkan calon mereka di semua kerusi DUN pada PRN Melaka.- MalaysiaGazette