Home Politik PH Melaka masih berteka teki nasib dua bekas ADUN UMNO

PH Melaka masih berteka teki nasib dua bekas ADUN UMNO

Adly Zahari bercakap pada sidang media hari ini.

MELAKA – Pakatan Harapan Melaka masih berteka teki mengenai nasib dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO sama ada diterima bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini atau sebaliknya.

Pengerusi PH negeri, Adly Zahari, berkata ia susulan masih belum mendapat apa-apa jawapan serta pengesahan rasmi daripada Majlis Presiden PH, di saat semua senarai 28 calon bertanding bakal diumumkan sehari dua lagi.

Menurutnya, di peringkat negeri, PH sudah membuat beberapa tindakan dalam menentukan nasib dua bekas ADUN UMNO bagi kerusi Pantai Kundor dan Sungai Udang itu.

“Sebenarnya seperti saya sebutkan tadi proses (menentukan nasib dua ADUN) di peringkat negeri itu memang telah kita asaskan melalui beberapa tindakan.

“Tetapi yang paling penting fokus kita di peringkat PH nasional itu, yang akan buat keputusan muktamad itu sama ada yang melibatkan bukan sahaja satu atau dua orang tapi 28 calon secara keseluruhan.

” Tunggulah pengumuman rasmi senarai calon PH yang akan dibuat beberapa hari lagi,” katanya pada sidang media di Pejabat DAP Melaka, di Lorong Pandan di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi DAP negeri, Datuk Tey Kok Kiew.

Isnin lalu, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, nasib dua bekas ADUN UMNO Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan, masih lagi dibincangkan dalam kalangan parti komponen PH membabitkan PKR, DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

Sementara itu dalam perkembangan lain, Adly yang juga bekas ADUN Bukit Katil, berkata, pihaknya hampir memuktamad keputusan sama ada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) boleh menyertai PH pada PRN ini atau sebaliknya.

“Itu pun (penyertaan Muda) adalah sebahagian daripada apa yang kita bincangkan,” katanya ringkas.

Sementara itu, beliau berkata, isu banjir di negeri ini antara perkara yang dijadikan sebagai modal kempen PRN ini.

Katanya, kegagalan kerajaan negeri sebelum ini yang diterajui Barisan Nasional (BN) dalam menyelesaikan rancangan tebatan banjir (RTB) akan diketengahkan pada setiap kali kempen pelbagai medium oleh jentera PH bermula Isnin ini.

“Kita akan bawa ini (banjir) supaya rakyat tahu kerajaan BN gagal menyelesaikannya,” katanya.

Untuk rekod, Idris merupakan EXCO Pembangunan Daerah, Luar Bandar dan Pengurusan Banjir negeri di bawah kerajaan BN sebelum ini.

PRN Melaka akan diadakan pada 20 November ini apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat bekas ADUN itu adalah Idris, Nor Azman, Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) – MalaysiaGazette.