KUALA LUMPUR – Selain pernah mengkagumi bakat penyanyi Ziana Zain, pelakon Rozita Che Wan atau Che Ta turut mendedahkan dia juga amat meminati Fauziah Latiff.
Lalu tidak hairan, tawaran membintangi drama Tahyul terbitan Zeel Production yang kini bersiaran di TV3 menghiasi slot Samarinda pantas diterimanya.
Masa zaman kemuncak kerjaya nyanyian Fauziah atau Jee, Che Ta mengakui tidak ketinggalan membeli kaset ketika zaman itu.
“Boleh kata semua koleksi lagunya yang meruntun jiwa saya. Malah saya pernah beratur semata-mata nak bergambar dengannya di sebuah karnival persembahan di Alor Setar, Kedah.
“Malah saya pernah disatukan dengan Jee dan Ziana dalam sebuah fotografi kulit muka depan majalah fesyen dan kecantikan. Tak sangka dapat pula berlakon dengan Jee buat kali pertama,” katanya sambil memberitahu Tahyul turut dibintangi Aniq Suhair, Cik B, Wani Kayrie, Ahmad Adly Sofwan, Shah Khan, Tania Hudson, Aidit Noh dan ramai lagi.
Drama 15 episod arahan Junaime Ramfizal Rahmat atau Che Mie itu ketika ini masih menjalani penggambaran di Perlis.
Kata Che Ta, selain menerima tawaran itu disebabkan Fauziah, dia turut mempertimbangkannya kerana diberi peranan sebagai Detektif Masni.
“Ikutkan saya jarang memegang watak seperti polis atau perisik. Begitu juga detektif. Sebelum ini dalam drama Gerak Khas pun saya pernah muncul jadi Deputi Superintenden Polis untuk beberapa episod.
“Sebelum itu, karakter Kiah Pekasam juga diperluaskan menjadi Kiah Spy. Saya juga pernah jadi ‘spy’ dalam drama Family Spy yang turut dibintangi Alif Satar.
“Apabila ditawarkan watak detektif, saya nampak kelainan untuk mempertimbangkan drama Tahyul. Masa baca skrip, saya tanya siapa pegang watak Puan Qaseh. Apabila diberitahu ia dilakonkan Jee, tak ada sebab saya nak menolaknya,” katanya.
Ketika industri kreatif diberi kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) oleh kerajaan sejak 9 September lalu, Che Ta memberitahu dia dihujani pelbagai tawaran drama.
Malah selain drama Tahyul, isteri kepada Zain Saidin itu turut melunaskan penggambaran drama Kerana Dia Suka, juga di Perlis terbitan produksi sama.
Malah Che Ta membawakan watak perempuan tua bernama Hajah Mariah. Turut sama berlakon ialah Fendi London, Fendi London, Rita Nadira dan Fikry Ibrahim.
“Macam saya selalu tekankan sebelum ini, akan ada salah anggap dan tafsir terhadap insan bernama Rozita Che Wan. Selalu akan fikir kalau saya berlakon kena cantik sepanjang masa.
“Malah sampai ada cakap, saya menjadi diri sendiri. Realitinya memanglah saya Rozita Che Wan. Tapi saya akan berlakon ikut karakter diberikan. Malah ‘look’, solekan dan warna baju pun produksi tentukan.
“Dalam drama Kerana Dia Suka, saya memang berbeza daripada watak lain termasuk Detektif Masni,” katanya. – MalaysiaGazette