Home Nasional Kerajaan Pahang lulus Inisiatif Sempadan Hijau Negeri

Kerajaan Pahang lulus Inisiatif Sempadan Hijau Negeri

Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang meluluskan cadangan Inisiatif Sempadan Hijau Negeri melibatkan sempadan negeri ini dengan enam negeri berjiran.

Enam negeri tersebut melibatkan Terengganu, Kelantan, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kelulusan Inisiatif Sempadan Hijau Negeri dibuat melalui pewartaan menurut Seksyen 7 Akta Perhutanan Negara 1984.

Susulan itu, Kerajaan Negeri akan mewartakan Tanah Kerajaan yang telah dikenal pasti di kawasan sempadan berkenaan sepanjang 26.806 KM dan berkeluasan 557.585 hektar, sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK).

Katanya, menerusi pewartaan ini, Kerajaan Negeri Pahang akan menolak ringkas semua permohonan tanah kerajaan untuk dibangunkan di kawasan Inisiatif Sempadan Hijau Negeri, berpandukan 6(e) atau 31(e) Kaedah-kaedah Tanah Pahang 1992.

“Sebagai makluman, pewartaan HSK terbaru ini merupakan tambahan kepada HSK sedia ada, yang turut terletak dalam kawasan bersempadan dengan keenam-enam negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.

“Bagi tanah milik pula, sebarang pembangunan meliputi jajaran 500 meter sempadan negeri, hendaklah dilaksanakan secara lestari berpandukan konsep Alam Sekitar,Sosial & Tadbir Urus (ESG).

“Kerajaan Negeri juga menetapkan Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT) di Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri menyelaraskan syarat-syarat khas dengan Pihak Berkuasa Tempatan berkaitan, tentang perkara-perkara yang diputuskan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan akhbar melalui Pejabat Menteri Besar Pahang hari ini.

Tambah Wan Rosdy, keputusan negeri ini yang mengutamakan konsep mesra alam bagi memastikan kelestrarian alam di Pahang terus terpelihara dan sejajar titah menjunjung titah Pemangku Raja Pahang.

“Dengan satu lagi keputusan ‘mesra-alam’ oleh kerajaan negeri ini diharapkan, kawasan sempadan Pahang dengan negeri-negeri terlibat, akan terus terjamin kelestarian alam sekitarnya.

“Keputusan ini dibuat pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Rabu lepas sebagai menjunjung titah KYDMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,”. – MalaysiaGazette