Home Pendapat Revolusi tuala wanita 

Revolusi tuala wanita 

SAYA pasti ada dalam kalangan kita sudah menonton filem Pad Man lakonan Akshay Kumar yang diinspirasikan dari kejadian sebenar di India. Ia mengisahkan bagaimana seorang lelaki begitu berazam untuk menyediakan keperluan sang isteri apabila datang haid sehingga beliau berjaya mencipta mesin membuat tuala wanita yang berpatutan. Ini semua bermula dengan satu masalah yang pada segelintir ia adalah masalah terpencil namun ia sebenarnya masalah besar bagi wanita – kemiskinan haid.

Minggu lalu, kerajaan Malaysia melalui pembentangan Bajet 2022 telah mengumumkan bantuan kit kebersihan kepada remaja B40 termasuklah bantuan tuala wanita. Ramai aktivis yang setelah sekian lama memperjuangkan hal ini menarik nafas lega – namun mereka juga mencadangkan agar bantuan ini diperluaskan lagi. Ini adalah kerana kemiskinan haid ini telah mengakibatkan remaja tidak ke sekolah sepanjang tempoh haid dan ada wanita yang memilih untuk mengandung dengan kerap untuk mengelakkan mereka membeli tuala wanita. Hal ini telah diperjelaskan oleh Dr Nurul Ashikin, Ketua Pejuangnita Muda Malaysia, namun malangnya beliau telah dihentam teruk oleh sesetengah mereka yang tidak tahu menahu mengenai kesahihan hal ini. Kebanyakan mereka yang mentertawakan Dr Ashikin dan memperkecilkan beliau adalah terdiri dari golongan yang mampu. Ada juga yang tidak tahu mengenai kewujudan masalah ini.
Tidak perlulah saya sebutkan siapa yang membuat komen sombong ini dan bagaimana hal ini telah memberikan impak kepada dunia sosial media negara. Untuk bercerita mengenai kemiskinan haid, saya rasa saya masih tidak arif mengenai hal ini seperti aktivis NGO yang memperjuangkan masalah ini sejak dahulu lagi. Namun saya faham kepayahan yang dilalui oleh seorang wanita jika mempunyai kesukaran untuk memperolehi tuala wanita ketika haid datang menziarah. Ini kerana saya sejak dari dahulu lagi turun ke lapangan berkerja dan bergaul dengan mereka ini.
Saya pernah berbual dengan golongan gelandangan sewaktu saya aktif dengan program mengedarkan makanan kepada mereka. Ada yang berkata mereka terpaksa berjimat cermat demi membeli tuala wanita (diingatkan ya, ada sebilangan gelandangan ini mempunyai pekerjaan namun mereka tidak mampu untuk mempunyai tempat tinggal kerana gaji yang diterima agak tidak munasabah rendahnya). Ada yang gunakan kain buruk atau perca. Saya terkejut bila mendengar akan hal ini. Kerana pada waktu itu saya rasa tuala wanita adalah benda penting yang perlu ada untuk semua wanita sama seperti berus gigi, sabun, syampu – saya lupa mereka ini adalah golongan rentan yang mungkin wang yang digunakan untuk membeli tuala wanita adalah duit makan mereka untuk sehari.
Sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan di negara kita, ramai wanita mempunyai masalah untuk mendapatkan tuala wanita kerana kesukaran untuk keluar membeli tuala wanita dan ada juga yang sudah terputus pendapatan. Sewaktu saya menjadi sukarelawan di sebuah DUN untuk mengagihkan bantuan makanan, mereka juga membekalkan tuala wanita kepada penerima bantuan dan ada yang tidak mahu bantuan makanan, hanya mahu bantuan tuala wanita (kerana sudah perolehi bantuan makanan dari sumbangan yang lain). Perkara ini mungkin nampak kecil, tapi sebenarnya ia sangat memberikan kesan terutamanya terhadap kesihatan organ pembiakan wanita jika kebersihan tidak dititik beratkan sewaktu datang haid. Kejadian ini juga telah membuatkan saya terfikir, jika kaum wanita ini ditempatkan di sebuah penempatan semula kerana tragedi, selama isu ini tidak hangat diperkatakan, kita semua lalai dan lupa akan keperluan tuala wanita ini. Bantuan disalurkan hanya bantuan makanan. Tiada tuala wanita. Sudah tentu payah buat mereka yang datang haid pada waktu itu untuk mendapatkan tuala wanita dalam keadaan “darurat”.
Tuala wanita juga mengalami revolusi perubahan sendiri. Dari hanya kain perca yang digunakan oleh nenek moyang kita dahulu, kemudian terciptanya tuala wanita seperti yang ada kini menggunakan kapas dan ada setengahnya menggunakan gel, kemudian wujud tampon yang dikatakan lebih selesa dan kurang alahan. Dan muncul pula tuala wanita yang boleh dicuci dan dipakai semula, hasil inovasi dan kajian untuk menyediakan keadaan yang lebih mesra alam. Dan terkini muncul pula jenis “menstrual cup” yang juga boleh dicuci dan diguna semula.
Pada awal pengumuman kerajaan mengenai bantuan tuala wanita, saya mencadangkan agar dipertimbangkan untuk diberikan tuala wanita yang boleh dicuci semula. Namun saya sekali lagi khilaf – kemiskinan haid bukan sahaja tidak mampu membeli tuala wanita. Kesukaran untuk mendapatkan bekalan air bersih juga adalah salah satu kemiskinan haid. Jika diberikan tuala wanita yang boleh dicuci, namun mereka tidak mempunyai sumber air bersih untuk mencuci tuala wanita itu juga akan mengundang masalah. Ya. Perkara kecil yang tak terfikir dek akal manusia moden yang cukup segalanya.
Dengan hangatnya isu ini diperkatakan dan diperdebatkan beberapa hari ini, tuala wanita sekali lagi mengalami revolusinya – paling tidak di dalam negara ini. Kita semua sudah mula peka mengenai keperluan tuala wanita. Ini adalah perkara yang baik sebenarnya kerana walaupun banyak respond yang negatif, namun kesedaran mengenai kepentingan tuala wanita kepada diri wanita kini mula meningkat. Kaum lelaki juga mula faham dan belajar – walaupun ada segelintir yang ingin menjadi lebih pakar dari golongan yang berdarah setiap bulan, tapi tak mengapa. Kita lihat dari perspektif yang positif. Malaysia kini dilanda revolusi tuala wanita.
Tuala wanita adalah perkara asas kehidupan wanita. Maka bagi saya, mari kita serapkan sedikit empati dan kesedaran dalam kehidupan seharian kita mengenai kes-kes kemiskinan haid ini. Bagi wanita yang merasakan perkara ini remeh, ingin saya bertanyakan kepada anda, jika anda tidak mampu untuk membeli dan tidak ada akses kepada tuala wanita, sanggupkah anda meletakan kain perca, guni, kain buruk atau sabut kelapa di vagina anda untuk menyerap dan menghalang darah haid anda dari mengalir keluar? Sebagai seorang wanita, kita patut lebih empati kepada golongan kita sendiri. Sepatutnya kita lebih faham kesukaran golongan kita sendiri dan letak diri kita di posisi mereka yang mengalami kesukaran itu. Bukan mentertawakan usaha orang yanh ingin membantu. Sudahlah sombong dan tidak mahu membantu, memperkecilkan pula usaha orang lain. Kepada kaum lelaki, sokongan dan kefahaman dari pihak anda semua amat kami hargai. Bukankah dalam hidup setiap lelaki pasti ada wanita? Silalah faham kesukaran dan keperluan wanita.
Apa pun saya bahagia dan bangga kini Malaysia dilanda revolusi tuala wanita. Ini menunjukkan masyarakat mula buka mata. Tahniah kepada aktivis yang memperjuangkan hal ini. Jauh lagi perjalanan anda untuk mendidik masyarakat Malaysia mengenai kemiskinan haid, namun ini adalah langkah pertama yang penting untuk mengorak langkah-langkah seterusnya. Tabik hormat saya pada anda semua. Terima kasih kerana peka dengan isu yang tidak popular tetapi besar kesannya kepada kemaslahatan hidup wanita.
Hidup revolusi tuala wanita! Semoga satu hari nanti tuala wanita boleh diperolehi secara percuma di negara ini, seperti negara-negara lain di dunia yang sudah lama dilanda revolusi tuala wanita!
Noor Suhana Ishak