Home SISWA UPSI serah modul 3M, buku persediaan SPM di sekolah banduan muda

UPSI serah modul 3M, buku persediaan SPM di sekolah banduan muda

Norkhalid Salimin (kanan) menyerahkan modul asas 3M dan buku latihan matapelajaran teras untuk kegunaan banduan muda calon SPM kepada Pengarah Penjara Kluang Mohd Roslen Ramli.

 

KUALA LUMPUR – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di bawah Program EmpowerNCER Akademik @Perak menerusi Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) tampil memberi sumbangan modul Asas Membaca, Menulis dan Mengira kepada (3M) untuk kegunaan penghuni Sekolah Integriti Kluang yang menempatkan banduan muda di Kluang bagi menguasai kemahiran asas pembelajaran dan persediaan menghadapi SPM 2021.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, sebagai Universiti Pendidikan No 1 negara, UPSI sentiasa cakna merealisasikan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia menerusi agenda Memasyarakatkan Universiti (U4S) dan Agenda 4 dalam
memacu kesejahteraan komuniti dengan menggiatkan sumbangan berbentuk beyond academics kepada komuniti yang berkonsepkan pendidikan komuniti.

“Sumbangan modul 3M yang dibangunkan oleh UPSI diharapkan dapat membantu guru-guru di Sekolah Integriti Kluang meningkatkan kualiti pendidikan tahanan dalam menguasai kemahiran 3M serta membantu calon SPM 2021 dalam mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah.

”Diharapkan dengan inisiatif ini secara tidak langsung membantu pelajar mendapatkan ilmu menggunakan bahan rujukan terbaik melalui program pendidikan sejajar dengan dasar pendemokrasian pendidikan serta mengelakkan banduan muda tercicir dalam bidang pelajaran,” jelasnya dalam suatu kenyataan.

Sebanyak 60 naskah buku Modul Asas Membaca, Menulis dan Mengira,80 naskah buku Modul Latihan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik Sekolah Rendah serta 50 naskah buku SPM bagi 5 mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah diserahkan kepada Penjara Kluang.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPSI, Profesor Madya Dr Norkhalid Salimin yang juga penyelaras utama Program EmpowerNCER Akademik @Perak, pembangunan modul-modul 3M terdiri daripada 15 orang Ikon Alumni UPSI yang berpengalaman serta di kalangannya pernah dinobat sebagai Guru Cemerlang.

Selain itu penyelidik-penyelidik ini merupakan Guru penggubal soalan SPM dan Guru Didik TV Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menjadi pakar rujuk pendidikan di Malaysia.

“Modul yang digunakan merupakan modul sama diterapkan untuk meningkatkan pencapaian pendidikan kemahiran 3M murid sekolah orang asli di 15 buah sekolah terpilih seluruh negeri Perak.

”Bukan itu sahaja, program ini juga melibatkan 1,400 murid SPM di 22 buah sekolah menengah di Perak bagi tahun 2021,” ujarnya. – MalaysiaGazette