Home Utama Warden belasah pelatih pusat pemulihan hingga mati direman 7 hari

Warden belasah pelatih pusat pemulihan hingga mati direman 7 hari

logo polis
Gambar hiasan

KUBANG PASU – Seorang warden pusat pemulihan dadah dan akhlak di Changlun dekat sini direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes bunuh pelatih pusat berkenaan.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, mangsa berusia 31 tahun itu dipercayai dipukul suspek selepas didapati melarikan diri daripada pusat berkenaan kira-kira jam 3 pagi semalam.

Jelas beliau, suspek berjaya menemui mangsa tidak jauh daripada lokasi pusat pemulihan sebelum dibawa pulang, namun sebaik pulang mangsa yang berasal dari Perlis itu dipercayai dipukul akibat tindakan melarikan diri.

“Mangsa yang memasuki pusat pemulihan itu April lalu kemudiannya dilaporkan pengsan sebelum dibawa ke hospital namun dalam perjalanan disahkan meninggal dunia,” katanya.

Mangsa disahkan meninggal dunia jam 7.50 malam oleh doktor dan memaklumkan ada kesan lebam di leher, dada, bawah dagu dan terdapat kesan cakaran kuku kemungkinan akibat bergaduh.

Susulan menerima laporan daripada hospital, polis telah menangkap seorang warden berusia 46 tahun.

“Hasil siasatan awal, suspek mengaku memukul mangsa di pusat pemulihan tersebut,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Kamarul Zaman, suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

“Siasatan lanjut berhubung kes ini masih dijalankan dan setakat ini hanya seorang ditahan,” kata beliau. – MalaysiaGazette