Home Nasional 2 beranak penagih dadah antara diberkas dalam Op Jihad Dadah

2 beranak penagih dadah antara diberkas dalam Op Jihad Dadah

Antara individu yang di tahan ketika serbuan Op Jihad Dadah yang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya malam tadi. Foto AMIRUL SHAUFIQ 5 NOVEMBER 2021

KUALA LUMPUR – Dua beranak yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah antara penagih yang diberkas serbuan Op Jihad Dadah lewat malam tadi.

Ketika serbuan dilakukan, lelaki berumur 38 tahun bersama anaknya, 17 tahun berada di kediaman mereka di  Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang.

Lelaki itu mencetuskan ketegangan apabila meraung-raung enggan ditahan oleh pihak polis.

Kata lelaki itu, dia tidak mahu berjauhan dengan keluarganya.

Lelaki tersebut menangis dan enggan diangkat sehingga di depan pintu rumahnya.

Gelagat seorang penagih dadah ketika anggota polis mahu menahannya dalam serbuan Op Jihad Dadah yang di jalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ 5 NOVEMBER 2021

Kemudian, isterinya yang turut berada dalam rumah membuat keputusan untuk pergi ke balai polis agar suaminya tidak berkeras dengan anggota polis.

Op Jihad Dadah adalah operasi pertama yang dilakukan oleh Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Fakhruddin Abdul Hamid berkata, operasi ini merupakan inisiatif untuk membanteras kegiatan pengedaran dan penagihan dadah di daerah tersebut.

Dalam masa yang sama, katanya, operasi ini dijalankan oleh IPD Petaling Jaya untuk mengurangkan kadar jenayah yang berlaku akibat perbuatan penagihan dadah, pada masa sama menyekat kemunculan penagih-penagih baharu serta memberi pendidikan dan kesedaran tentang bahaya penagihan dadah kepada kumpulan sasaran.

Anggota polis melakukan kerja-kerja pemeriksaan di sekitar rumah individu yang ditahan etika serbuan OP Jihad Dadah yang di jalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ 5 NOVEMBER 2021

Katanya, pihak berjaya merampas syabu (81.03 gram), heroin (21.07 gram), ganja (0.30 gram) dan air ketum (10 liter) di Lembah Subang pada tahun ini.

Statistik Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Petaling Jaya itu turut merekodkan sebanyak 59 orang ditangkap kerana terlibat dengan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 bermula Januari hingga Oktober tahun ini.

Op Jihad Dadah itu dijalankan dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan RELA itu melibatkan 123 orang pegawai kanan dan anggota polis dari bahagian dan cawangan serta balai-balai di bawah Petaling Jaya.

AADK dan RELA pula masing-masing seramai 20, tambahnya.- MalaysiaGazette