Home Nasional Bantah penjualan arak di kedai runcit satu tindakan dangkal – MAPIM

Bantah penjualan arak di kedai runcit satu tindakan dangkal – MAPIM

Mohd Azmi Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – Bantahan beberapa ahli Parlimen Wilayah Persekutan yang tidak berpuas hati terhadap larangan penjualan arak di kedai runcit disifatkan sebagai satu tindakan dangkal.

Malah, alasan yang diberikan bahawa larangan tersebut sebagai menyekat hak orang bukan Islam untuk minum arak adalah tidak logik, kata Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd. Azmi Abdul Hamid.

Ini kerana masih terdapat penjualan minuman keras yang benarkan dijual di restoran, pub, bar, hotel, kompleks komersial, gudang, pasar raya dan pasar besar, malah tempat-tempat itu masih diizin untuk menjalankan aktiviti promosi.

“Isu mengetatkan jualan arak tidak boleh dilihat melanggar hak orang bukan Islam tetapi adalah hak memelihara kesejahteraan masyarakat awam keseluruhanya.

“Kami kesal cara berfikir ahli-ahli Parlimen yang terlibat, seolah-olah hak minum arak lebih besar dari hak menjaga kesejahteraan masyarakat.

“Kami menggesa desakkan mereka perlu dihujah dengan tegas bahawa polisi kesihatan dan kesejahteraan awam mesti diutamakan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Azmi berkata, akses generasi muda kepada arak kini sangat mudah dan sememangnya syarikat arak mahu menguasai pasaran generasi muda masa depan.

Katanya, keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang melarang arak dijual di kedai runcit adalah wajar.

Mengelakkan masyarakat terutama kanak-kanak dan remaja mendapat akses kepada arak itu perlu dilakukan sekiranya konsep Keluarga Malaysia mahu direalisasikan, tegas beliau.

MAPIM turut menyangkal dakwaan bahawa larangan itu menghalang perniagaan kedai runcit dengan mempersoalkan adakah penjualan bahan yang boleh memudaratkan kesihatan itu satu hak.

“Ini tidak boleh sama sekali dianggap tidak menghormati budaya orang bukan Islam untuk minum arak. Adakah benar minum arak itu budaya orang bukan Islam.

“Ahli Parlimen ini nampaknya beria-ia benar membela hak segelintir peniaga arak dan menidakkan majoriti mereka yang tidak mahu arak berleluasa.

“Ini bukan soal arak untuk perubatan dan masakan kulinari…ini soal membendung gejala ketagihan dan kebergantungan masyarakat kepada arak.

“Kami menolak wakil rakyat yang tidak mengutamakan kepentingan masyarakat terbanyak tetapi, mereka sangat menjaga kepentingan segolongan kecil yang meraih keuntungan dari arak,” tambahnya.

Sebelum ini, isu berkenaan menjadi hangat diperdebatkan di Dewan Rakyat apabila terdapat beberapa ahli Parlimen pembangkang bersuara lantang tidak bersetujun dengan larangan tersebut.

Keadaan menjadi tegang apabila Kementerian Wilayah Persekutuan berhasrat untuk mengehadkan penjualan arak di kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat Cina di sekitar Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, perkara tersebut masih lagi dalam perbincangan dan belum ada sebarang keputusan dibuat mengenainya. – Malaysiagazette