GEORGE TOWN – Bekas atlet penembak negara, Muslifah Zulkifli dilaporkan meninggal dunia di sebuah hospital swasta di sini, hari ini.
Wanita berusia 35 tahun itu disahkan positif Covid-19 pada 19 September lalu dan meninggal dunia akibat kuman dalam paru-paru.
Mangsa menghembuskan nafas terakhir pada jam 2.17 pagi tadi selepas bertarung nyawa selama 43 hari di unit rawatan rapi hospital berkenaan.
Difahamkan, anak dalam kandungan Muslifah berusia lebih enam bulan turut meninggal dunia.
Muslifah adalah bekas penembak negara yang lama berada dalam program latihan pasukan kebangsaan dan pernah terbabit dalam Program Podium pada tahun 2015 hingga 2017.
Allahyarhamah pernah memenangi pingat gangsa Sukan Asia 2014 bagi acara rifle 50 meter prone berpasukan wanita bersama Nur Suryani Taibi dan Ayuni Farhana Halim. – MalaysiaGazette