Home Nasional Kempen Undi 18 beri penekanan kepada calon muda ceburi politik

Kempen Undi 18 beri penekanan kepada calon muda ceburi politik

Chow Kon Yeow (tengah) merasmikan Pelancaran Program Calon18 secara atas talian har ini.

GEORGE TOWN – Bagi memperkasakan serta menarik minat golongan muda dalam bidang politik, Kerajaan Pulau Pinang melancarkan kempen Undi 18 bagi memberi penekanan kepada belia untuk menjadi calon politik yang berjaya.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, langkah itu adalah salah satu bentuk usaha dan pendekatan kerajaan negeri untuk membentuk dan membina barisan pelapis kepimpinan anak muda yang berkaliber dan berwawasan tinggi dalam menyumbang kepada pembangunan negeri serta negara ke satu tahap yang lebih baik.

Chow Kon Yeow.

“Seperti mana yang semua sedia maklum, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada 1 September lalu dengan sokongan penuh merentasi parti telah meluluskan pengubalan Rang Undang-Undang Perlembagaan Pulau Pinang (Pindaan 2021) yang membenarkan had usia kelayakan umum calon bagi kerusi DUN diubah daripada 21 tahun kepada 18 tahun dalam pilihan raya akan datang.

“Dengan kelulusan pengubalan undang-undang ini, ia adalah bukti komitmen serta kesediaan berterusan Kerajaan Negeri untuk menerima dan mempersiapkan Pulau Pinang pada masa hadapan.

“Kerajaan Negeri juga berharap kempen Undi 18 ini dapat membuka satu lembaran yang baru kepada negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Calon 18 secara atas talian hari ini.

Bengkel Undi18 edisi Pulau Pinang itu melibatkan 135 peserta dan 85 daripadanya merupakan anak jati negeri.

Bengkel tersebut akan berlangsung bermula hari ini sehingga 4 Disember depan dan dikelolakan secara bersama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Undi 18, Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) serta beberapa agensi negeri.

Hadir sama, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee yang juga ADUN Bagan Jermal dan Pengurus Besar PYDC, Dr. Gwee Sai Ling.

Sementara itu, Lip Chee berkata, Undi 18 bakal dilaksanakan mulai Januari depan dengan pendaftaran pemilih secara automatik yang bakal meningkatkan bilangan pengundi muda berumur 30 tahun dan ke bawah iaitu kira-kira 3.9 juta orang yang mana 1.3 juta berusia antara 18 hingga 20 tahun.

“Sehubungan itu, golongan belia sedia ada perlu dipersiapkan diri untuk menjadi pemimpin-pemimpin belia yang berkaliber bagi mendepani cabaran kepimpinan negeri dan negara yang lebih luas,” ujarnya. – MalaysiaGazette