KUALA LUMPUR – Penahanan seorang tekong darat warga tempatan telah membongkar rahsia kegiatan penyeludupan pendatang asing tanpa izin menerusi Op Benteng, Covid-19 di Kampung Sungai Janggut, Kuala Selangor semalam.
Pegawai Pemerintah Batalion 4, Pasukan Gerakan Am (PGA) Superintendan Rizal Mohamed berkata, lelaki berusia 37 tahun itu ditahan pada pukul 5 pagi.
Susulan penahanan itu, pihaknya berjaya mengesan 60 pendatang asing tanpa izin terdiri daripada 38 lelaki dan 22 wanita berusia lingkungan 16 hingga 51 tahun yang bersembunyi di kawasan semak.
“Kesemua individu berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan sah dan mereka ditahan untuk tindakan lanjut.
“Mereka dipercayai baru tiba ke negara ini melalui laluan jalan laut yang tidak diwartakan dengan menggunakan bot,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Operasi yang dijalankan bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor itu merampas sebuah kenderaan, dua telefon bimbit serta wang tunai RM147 dengan nilai keseluruhan berjumlah RM61,400.
Katanya lagi, kesemua tangkapan akan menjalani ujan saringan Covid-19 bagi mencegah penularan virus dalam kalangan pesalah dan juga petugas polis. – MalaysiaGazette