Home Ekonomi Niaga hadapan MSM dijangka tinggi

Niaga hadapan MSM dijangka tinggi

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dalam aliran menaik minggu hadapan berikutan permintaan yang lebih kukuh dari India dan China.

Menurut Peniaga Minyak Sawit David Ng, pasaran pada minggu tersebut berkemungkinan menyaksikan India dan China meningkatkan tempahan mereka disebabkan permintaan bermusim.

“Kami melihat India dan China menambah permintaan terhadap sawit. Bagi China, ia lebih kepada permintaan bermusim memandangkan musim sejuk akan datang dan mereka mungkin akan menyimpan stok sebelum kedatangan musim sejuk,” katanya kepada Bernama.

Baru-baru ini, dilaporkan bahawa kerajaan China telah memberitahu rakyatnya bagi membuat simpanan barangan keperluan harian sekiranya berlaku ‘kecemasan’ dan menggesa pihak berkuasa tempatan untuk memastikan bekalan makanan mencukupi dalam menghadapi musim sejuk kali ini.

Selain itu, menurut data Intertek Testing Services, eksport produk minyak sawit Malaysia bagi 1 – 5 Nov meningkat 11.60 peratus kepada 262,530 tan metrik daripada 235,250 tan metrik yang dihantar semasa 1 – 5 Okt.

Oleh itu, pergerakan harga pada minggu hadapan dijangka berlegar antara RM4,700 hingga RM5,100, katanya lagi.

Sementara itu, Peniaga Kanan Interband Group of Companies, Jim Teh berkata pasaran dijangka menjadi lebih rendah pada minggu akan datang susulan penutupan akaun akhir tahun, musim cuti serta sindiket akan mula menurunkan bidaan dan perlahan-lahan membeli, ini akan menyaksikan jumlah dagangan mengecil.

“Banyak firma penyelidikan dan laporan telah mengunjurkan harga minyak sawit akan berada pada paras RM2,800-3,000 setan metrik pada tahun depan.

“Sejak Merdeka, kita tidak pernah menyaksikan harga pada tahap ini dan ia akan menjejaskan industri pertanian,” katanya.

Justeru, beliau menjangkakan harga akan diniagakan antara RM4,500 hingga RM4,000 pada minggu berkenaan.

Dari Jumaat ke Jumaat, November 2021 susut RM83 kepada RM5,319 satu tan, Disember 2021 turun RM119 kepada RM5,108 satu tan.

Januari 2022 jatuh RM146 kepada RM4,880 satu tan, Februari 2022 merosot RM170 kepada RM4,711 satu tan, Mac 2022 berkurangan sebanyak RM198 kepada RM4,557 satu tan, dan April 2022 hilang RM215 kepada RM4,417 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 250,219 lot berbanding 279,164 lot yang dicatatkan pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka menurun kepada 243,221 kontrak daripada 245,276 kontrak.

Harga MSM fizikal bagi November Selatan adalah RM50 lebih rendah pada RM5,400 satu tan. – MalaysiaGazette