Home Nasional Ops Merah: Penunggang e-hailing paling banyak lakukan kesalahan

Ops Merah: Penunggang e-hailing paling banyak lakukan kesalahan

Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), menahan penunggang motosikal dalam Ops Merah di Puchong Perdana, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 6 NOVEMBER 2021.

PUCHONG – Penunggang e-hailing didapati paling banyak melakukan kesalahan jalan raya sepanjang Ops Merah dijalankan di seluruh negara dalam tempoh sebulan.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa Ibu Pejabat JPJ, Datuk Lokman  Jamaan berkata, berdasarkan statistik operasi berkenaan bermula 8 Oktober lalu hingga semalam, sebanyak 2,058 kenderaan e-hailing dikenakan tindakan.

Daripada jumlah berkenaan sebanyak 902 kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat dan 256 kesalahan tidak mempunyai perlindungan insurans.

“Operasi ini sebagai respon terhadap aduan orang awam berhubung kesalahan yang dilakukan oleh pemandu dan penunggang motosikal terutamanya melibatkan perkhidmatan e-hailing yang menjadi punca kemalangan maut,” katanya ketika sidang media pada hari terakhir Ops Merah, di Puchong Perdana hari ini.

Jelas beliau, operasi ini memfokuskan kesalahan yang dilakukan oleh motosikal.

Ujarnya ,ini kerana 60 peratus kemalangan maut jalan raya diakibatkan oleh motosikal.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan bercakap pada sidang media dalam Ops Merah di Puchong Perdana, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 6 NOVEMBER 2021.

Antara kesalahan yang sering dilakukan oleh kenderaan e-hailing adalah tidak mematuhi lampu isyarat, tiada perlindungan insurans dan tidak memakai topi keledar. 

Menurut Lokman, sepanjang sebulan operasi khas itu digerakkan, sebanyak 9,866 daripada 88,365 yang diperiksa telah dikenakan tindakan.

Selain itu tambah beliau, sebanyak 10,054 saman telah dikeluarkan.

“Sebanyak 2,147 saman untuk kenderaan e-hailing dan 7,907 untuk kenderan lain,” katanya.

Operasi ini tambah beliau, bukan semata-mata mahu mengeluarkan saman, sebaliknya memberi advokasi kepada pengguna jalan raya dan penunggang motosikal supaya sentiasa mematuhi peraturan di jalan raya. – MalaysiaGazette