KUALA LUMPUR – Pas menyifatkan politik di Malaysia hari ini seperti permainan bola sepak yang perlu ada pecahan tugasan untuk memastikan sesebuah pasukan itu menang.
Setiausaha agungnya, Datuk Seri Takuyuddin Hassan berkata, walaupun Pas parti penting yang turut berada dalam kelompok ‘pasukan’, tetapi Pas tidak berada dalam kelompok pengurusan di atas.
“Dalam sesebuah pasukan itu, ada pengurus, ketua jurulatih dan juga pemain, tetapi ada satu lagi jawatan penting yang perlu ada bagi melengkapkan permainan iaitu sebagai ‘kick manager’.
“Ini jawatan penting yang menyediakan pakaian, kasut dan bola sebelum pertandingan bermula, betapa pentingnya jawatan ini dan itulah tugas Pas,” katanya ketika berucap di Muktamar Pas Kali Ke-67 di Kuala Terengganu hari ini.
Beliau berkata, apa gunanya menjadi pemain yang bertarf bintang tetapi tidak mengikut segala keputusan pihak pengurusan.
“Itulah kelemahan paling ketara yang dapat dilihat. Bintang-bintang ini walaupun hebat tetapi apabila tidak mendengar arahan, akhirnya satu pasukan kalah.
“Adalah lebih baik menjadi pasukan underdog yang tiada pemain handalan tetapi setia kepada arahan pengurus dan jurulatih.
“Peranan pemain adalah berdisiplin, tahu strategi yang ditentukan oleh pengurus dan jurulatih, tidak mustahil boleh kalahkan pasukan yang hebat,” katanya.
Dalam ucapannya, Takiyuddin juga menyentuh mengenai keberadaan Pas dalam kerajaan hari ini yang telah memberi impak cukup berkesan kepada agama dan bangsa.
“Sepanjang Pas berada dalam kerajaan, kita telah berjaya mewujudkan kerajaan Melayu-Islam.
“Banyak isu yang berkaitan orang Melayu dan Islam kita pertahankan dan diharap ia akan dapat diteruskan.
“Dalam tempoh 20 bulan juga kita dapat merasai keharmonian dengan menyantuni negeri-negeri yang terpinggir selama ini.
“Banyak perubahan dan sudah tentu pembangunan berskala besar,” ujarnya lagi.
Jelasnya, banyak manfaat telah dicapai sejak Pas berada di dalam saf pentadbiran negara.
“Justeru kemenangan yang diuruskan sekarang perlu dipertahankan. Tuntutan pertahankan sudah digariskan dalam parti.
“Antaranya adalah menerajui negara dengan budaya politik matang, menyelesai masalah rakyat dengan solusi islamik negara pada hari ini dan sepakat untuk terus taat dan mengikuti sertiap keputusan yang telah ditetapkan oleh saf kepimpinan tertinggi,” jelasnya. – MalaysiaGazette