SUBANG – Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bakal menjadi medan sebenar bagi Perikatan Nasional (PN) menguji kekuatannya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Justeru Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengajak pengundi Melaka mengambil pendirian berani dengan mengundi PN pada PRN Melaka, 20 November ini.
“Saya menyeru kepada rakyat Melaka supaya mengundi simbol PN dalam PRN Melaka. Inilah simbol kami bersama parti Bersatu, Pas dan Gerakan serta parti yang bergabung bersama kita.
“Kita menghadapi wabak Covid-19, kita sudah membuktikan dapat menunaikan tanggungjawab sebaiknya dalam menghadapi masalah kewangan, kerana kita ada tokoh kewangan, ada tokoh dan pakar yang boleh mengendalikan urusan dengan sebaiknya.
“Kita perlukan masa lebih panjang, PRN Melaka beri makna besar kerana selepas ini ada PRU-15. Kita harap rakyat Melaka jadi simbol dalam PRU akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap secara maya pada majlis pengumuman calon PN disempurnakan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yasin, di sini, hari ini.
Muhyiddin ketika mengumumkan calon PN hari ini memaklumkan, Bersatu akan bertanding di 15 kerusi DUN, diikuti lapan kerusi ditandingi PAS dan lima oleh Gerakan.
Katanya, bagi penganut Islam, politik adalah sebahagian ajaran Islam dan mengundi menjadi satu tanggungjawab kerana memilih pemimpin adalah perkara wajib dalam Islam.
Dalam pada itu Muhyiddin berkata, PN belum menetapkan calon bagi Ketua Menteri setakat ini sekiranya parti gabungan itu berjaya membentuk kerajaan bagi PRN Melaka.
Ujarnya, perkara itu akan diumumkan pada masa yang sesuai selepas selesai proses penamaan calon bagi pilihan raya negeri berkenaan.
“Kita setakat ini belum lagi hendak mengumumkan, tunggu masa yang sesuai dan yang penting untuk mereka ini menghadapi penamaan calon…kita akan umumkan kemudian,” katanya.
Sementara itu, Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai menyifatkan proses agihan kawasan DUN pilihan raya amat penting dan meminta penyokongnya mengundi mana-mana calon PN yang diketengahkan. – MalaysiaGazette