Home Nasional Rosaklah institusi pendidikan jika kekerasan digunakan untuk mengajar manusia – Pepias

Rosaklah institusi pendidikan jika kekerasan digunakan untuk mengajar manusia – Pepias

Muhammad Zakir Abdul Razak

KUALA LUMPUR – Budaya membuli tidak sepatutnya diterima dan dianggap normal oleh masyarakat di negara ini.

Perbuatan membuli ini banyak berlaku di sekolah-sekolah dan budaya yang dianggap normal itu terbawa-bawa ke universiti.

Sehubungan itu, warga pendidik seperti guru, warden atau pensyarah seharusnya lebih jelas bahawa budaya membuli ini bukanlah sebuah bentuk pengajaran tetapi sebuah penyeksaan.

Sebagai seorang pendidik, melindungi pelajar adalah salah satu tanggungjawab yang perlu dipegang oleh golongan ini, kata Presiden Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan (Pepias), Muhammad Zakir Abdul Razak.

“Budaya membuli ini bukan sahaja boleh mencederakan fizikal malah menyeksa mental si mangsa. Hancur luluh harapan seorang ibu dan bapa jika melihat anak yang dibesarkan sendiri diseksa oleh orang lain,” katanya.

Beliau mengulas keputusan akhir bagi kes kematian Zulfarhan Osman yang membabitkan 18 orang penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Tegas beliau, perbuatan menekap seterika wap pada badan si mangsa sebanyak 90 tekapan ini sememangnya sangat tidak berperikemanusiaan dan diluar kewarasan seorang manusia.

Muhammad Zakir berkata, sekiranya perbuatan ini diterima oleh masyarakat, maka parahlah institusi pendidikan negara ini yang masih percaya kepada kekerasan dapat mengajar manusia. – MalaysiaGazette