Home Nasional 130 rumah terjejas dinaiki air akibat fenomena air pasang

130 rumah terjejas dinaiki air akibat fenomena air pasang

Kira-kira 130 buah rumah di sekitar Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau terjejas akibat fenomena air pasang.

BALIK PULAU – Fenomena air pasang besar menyebabkan 130 buah rumah di kawasan Kuala Sungai Pinang di sini terjejas apabila kediaman mereka dinaiki air hampir satu meter awal pagi tadi.

Tinjauan MalaysiaGazette kira-kira jam 2.30 pagi tadi mendapati penduduk di sekitar kawasan itu membawa anak kecil mereka keluar dari kawasan tersebut ke rumah saudara berhampiran.

Penduduk menyelamatkan kenderaan mereka.

Selain itu, kenderaan pula ditempatkan di kawasan tanah tinggi kira-kira satu kilometer dari rumah mereka.

Menurut seorang penduduk, Rafiudin Rosli,29, sudah masuk hari ketiga kawasan perumahan itu dinaiki air.

“Sudah masuk tiga hari air naik kat sini disebabkan air laut pasang tapi lewat malam tadi paling tinggi iaitu sampai paras lutut sekali gus menyebabkan rumah saya dimasuki air.

Rafiudin.

“Perkakasan elektrik gagal diselamatkan sebab kami tak sangka air akan naik begitu cepat memandangkan dua hari lalu keadaan tidak seteruk ini.

“Kami lima beranak termasuk mak ayah saya hanya sempat selamatkan dokumen pengenalan serta kenderaan masing-masing buat masa ini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.

Sementara itu, Fouziah Rusli, 57, berkata, dia dan suami takut untuk tidur malam berikutan air naik mendadak berbanding hari-hari ini sebelum ini.

“Kawasan perumahan ini berhampiran sungai dan memang kami dah diberitahu air akan pasang besar tapi tak sangka paras lutut.

“Saya dan suami tinggal berdua di sini manakala anak-anak tinggal di kawasan lain, jika keadaan kian teruk kami akan berpindah sementara ke rumah mereka,” jelasnya yang sudah menetap lebih 35 tahun di kawasan terbabit. – MalaysiaGazette