Home Pendapat Makan banyak tapi kurus melidi

Makan banyak tapi kurus melidi

BERAT badan memainkan peranan penting dalam penampilan atau personaliti seseorang berdepan dengan khalayak.- Gambar hiasan.

BERAT badan memainkan peranan penting dalam penampilan atau personaliti seseorang berdepan dengan khalayak.

Uniknya, manusia akan berasa runsing sekiranya gemuk atau obes tetapi tetap juga tertekan sekiranya terlalu kurus sehingga digelar kurus melidi oleh orang lain.

Mengulas isu banyak makan tetapi tetap kurus, Pegawai Pemakanan Hospital Pakar KPJ Perlis, Noorhayati Mohamad Yusof memberitahu, terdapat sesetengah individu yang mengambil makanan pada kadar yang banyak atau cukup namun tetap kurus melidi.

“Sebenarnya terdapat beberapa faktor menyebabkan perkara itu seperti makan kuantiti yang sedikit, meninggalkan waktu makan rutin, makan terlalu perlahan, kekurangan zat dalam badan dan minum air kosong terlalu banyak,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette baru-baru ini.

Pegawai Pemakanan Hospital Pakar KPJ Perlis, Noorhayati Mohamad Yusof

Katanya, pengambilan makanan yang ideal dan seimbang perlu dipraktikkan setiap hari.

“Sebagai contoh, ambil satu set lengkap sandwich untuk sarapan pagi, milkshake buah semasa minuman pagi, hidangan lengkap makanan berupa nasi, sejenis lauk dan buah semasa makan tengahari dan makan malam.

“Selain itu, makan sepotong kuih yang mempunyai protein seperti pau ayam atau popia basah untuk minum petang serta segelas air susu sebelum tidur,” katanya.

Katanya lagi, tabiat meninggalkan waktu makan terutama sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam antara faktor seseorang sukar untuk naik badan.

“Paling merisaukan tabiat ini boleh memberi kesan negatif kepada masalah penghadaman seseorang seperti masalah gastrik dan Gastroesophageal Reflux Disease (GERD),” katanya.

GERD merupakan sejenis gangguan penyakit pencernaan kronik yang berlaku apabila asid dalam perut atau ada kalanya kandungan perut mengalir semula ke dalam saluran esofagus (laluan antara mulut dan perut).

Masalah GERD berpunca daripada struktur dalaman badan dan gaya hidup akan menjadi lebih teruk sekiranya tidak dirawat dengan segera.

Noorhayati menambah, badan seseorang sukar untuk naik jika gemar mengunyah atau makan dengan cukup perlahan yang menyebabkan seseorang mudah hilang selera.

“Selain itu, berdasarkan fakta sains kekurangan vitamin B kompleks menyebabkan seseorang mudah untuk hilang selera makan selain pengambilan air kosong terlalu banyak boleh menyebabkan kita cepat kenyang.

“Itu menyebabkan kita makan sikit dan kurang vitamin di dalam badan,” katanya.

Faktor-faktor lain kuat makan tetapi tetap kurus

Hipertiroidisme
Tiroid yang terlalu aktif atau dipanggil hipertiriodisme dapat menyebabkan lebihan tiroid dalam tubuh. Individu dengan masalah ini memiliki metabolisme yang aktif dan sering membakar lebih banyak kalori sepanjang hari.
Tanpa rawatan yang tepat, hipertiroidisme menyukarkan penambahan berat badan walaupun makan dengan banyak.

Diabetes jenis 1
Diabetes jenis 1 ialah keadaan autoimun yang mana tubuh menghancurkan sel-sel di pankreas yang menghasilkan insulin. Insulin adalah hormon yang bertanggungjawab untuk metabolisme glukosa. Ketika diabetes jenis 1 tidak dikawal, hal itu menyebabkan kadar glukosa dalam darah meningkat yang kemudiannya dibuang melalui air kencing.

Apabila glukosa ini tidak diserap, ia menyebabkan penurunan berat badan yang drastik.

Keradangan usus
Seseorang yang sukar menaikkan berat badan berkemungkinan menghidapi masalah keradangan usus. Keadaan ini menyebabkan seseorang sukar makan dalam jumlah yang banyak.
Penyakit ini juga menyebabkan seseorang lebih kerap membuang air besar yang turut menyumbang kepada penurunan berat badan.

4. Genetik
Terdapat golongan yang mempunyai berat badan yang rendah secara semulajadi kerana karakteristik fizik daripada genetik keluarga.

5. Makanan rendah kalori
Kurang mengambil makanan berkalori juga boleh menyebabkan badan tetap kurus. Keadaan ini boleh terjadi ketika seseorang hanya makan makanan dengan kepadatan kalori rendah meskipun jumlah yang banyak.

Beberapa jenis makanan rendah kalori termasuklah buah-buahan, sayur-sayuran, sup dan air putih.- MalaysiaGazette