MERLIMAU – Kehadiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sentiasa mendapat perhatianĀ apatah lagi jika beliau turun padang menyantuni rakyat
Memandangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan diadakan tidak lama lagi, kehadirannya ke Pantai Siring pagi ini dinanti-nanti penduduk tempatan yang kebanyakan adalah komuniti nelayan.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, sebaik sahaja Najib tiba kira-kira pukul 9.30 pagi, laluan utama di sepanjang pesisir Pantai Siring menjadi sesak kerana orang ramai memperlahankan kenderaan untuk melihat Ahli Parlimen Pekan itu secara dekat.
Najib yang ditemani anaknya, Datuk Nazir Mohd Najib meluangkan masa kira-kira 90 minit menyantuni setiap pengunjung yang berada di kedai makan bersebelahan Pantai Siring yang menyajikan makan laut celup tepung.
Kemudian, Ketua UMNO Bahagian Pekan itu sempat meluangkan masa hampir 30 minit bersarapan dengan penduduk tempatan sambil melihat pemandangan Pantai Siring yang berlatar bekalang Pulau Besar.
Selain penduduk tempat, kehadiran Najib di sekitar Melaka turut mendapat perhatian daripada pihak berkuasa khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
MalaysiaGazette mendapati, sebuah kenderaan rasmi KKM sering kelihatan mengekori rombongan Ahli Parlimen Pekan itu meskipun untuk menyantuni rakyat.
Langkah KKM itu dipercayai untuk mengawasi pergerakan Najib bagi memastikan tiada sebarang perhimpunan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam mencegah pandemik Covid-19.
MalaysiaGazette dimaklumkan pada sebelah petang ini, Najib akan melakukan walkabout di pekan Jasin untuk menyantuni penduduk di sana. – MalaysiaGazette